KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan berkompromi dengan soal kedaulatan negara walaupun terbuka kepada pelaburan dan teknologi dari luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak akan menyerahkan keputusan paling penting merangkumi tadbir urus data, penggunaan sistem kecerdasan buatan (AI) dalam institusi awam serta cara teknologi baharu diperkenalkan dalam kehidupan rakyat.
Katanya, walaupun teknologi boleh datang dari mana-mana negara, segala peraturan berkaitan akan tetap ditentukan oleh Malaysia sendiri.
“Kita akan terus terbuka kepada pelaburan dari Timur dan Barat serta kerjasama dengan syarikat yang menghormati undang-undang dan keutamaan kita. Tetapi kita tidak akan menyerahkan keputusan paling penting.
“Bagaimana data kita ditadbir, bagaimana sistem AI digunakan dalam institusi awam dan bagaimana teknologi baharu diperkenalkan dalam kehidupan rakyat kita. walaupun teknologi boleh datang dari mana-mana, peraturannya akan dibuat di Malaysia,” katany ketika berucap pada Majlis Pelancaran AI Lab dan Pusat Inovasi di The Exchange 106 TRX, semalam.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menjadikan pembangunan digital sebagai antara fokus utama dalam strategi pembangunan negara menerusi pelaksanaan asas transformasi digital.
Katanya, kerajaan turut menekankan kepentingan meningkatkan usaha dalam bidang AI supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.
“Malaysia perlu mengejar teknologi baharu dengan lancar, fokus dan pantas agar tidak ketinggalan dalam persaingan global.
“Pada masa sama, perubahan teknologi perlu dipastikan tidak mewujudkan jurang lebih besar antara golongan kaya di bandar dengan masyarakat miskin di luar bandar dan kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata, kemajuan teknologi termasuk AI juga tidak boleh menyebabkan masyarakat kehilangan nilai harga diri serta nilai moral.
Sehubungan itu, katanya, semua cabaran berkenaan perlu ditangani melalui penguasaan teknologi baharu serta langkah yang sewajarnya.
Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada Huawei kerana menunjukkan keyakinan terhadap Malaysia dan menyokong pelbagai usaha pembangunan negara.
“Latihan, pendedahan serta kemudahan yang dikongsi syarikat berkenaan melambangkan kerjasama sebenar antara kedua-dua pihak.
“Malaysia tidak berniat untuk kekal sekadar pengguna AI, sebaliknya berhasrat untuk membina keupayaan sendiri dan bersaing dengan yakin dalam ekonomi digital global,” katanya. – UTUSAN










