PUTRAJAYA: Malaysia menyasarkan untuk memuktamadkan kira-kira 40 Memorandum Persefahaman (MoU) sepanjang penganjuran Expo Dubai 2020 bermula 1 Oktober ini hingga 31 Mac 2022.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya juga menjangkakan untuk meraih potensi perniagaan dan pelaburan sekitar RM8 bilion hingga RM10 bilion daripada ekspo berkenaan.
Beliau berkata, kira-kira 300 buah syarikat tempatan dari pelbagai industri mengambil bahagian dalam ekspo sepanjang 26 minggu itu dengan disokong 21 kementerian dan lima kerajaan negeri iaitu Selangor, Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah.
“Antara MoU yang berpotensi untuk diketengahkan termasuk dalam bidang inovasi dan teknologi; halal, pendidikan, pelancongan dan kewangan,” katanya menerusi sidang akhbar secara maya, hari ini.
Katanya, Expo Dubai 2020 akan menjadi titik tolak kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia selepas hampir dua tahun berdepan pandemik Covid-19 selain membantu mengembangkan jenama tempatan ke peringkat antarabangsa.
Adham berkata, menerusi Expo Dubai 2020 yang menyasarkan kunjungan 25 juta pelawat itu, Malaysia bakal membuat penampilan istimewa apabila memperkenalkan Malaysia Pavilion dengan menerapkan konsep bebas karbon.
Menurutnya, Malaysia Pavilion yang bertemakan ‘Rainforest Canopy’ akan dibuka kepada pengunjung bermula 4 Oktober ini.
“Malaysia Pavilion direka dan diinspirasikan daripada keindahan hutan hujan tropika iaitu ekosistem alam sekitar yang dimiliki Malaysia sejak beratus tahun lalu,” katanya.
Katanya, Malaysia Pavilion seluas 1,234.5 meter persegi itu juga dibahagikan kepada empat bahagian utama. – UTUSAN