Digantung dua penggal, Ahli Parlimen Tanah Merah enggan merayu

Digantung dua penggal, Ahli Parlimen Tanah Merah enggan merayu

IKMAL HISYAM ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz tidak akan mengemukakan rayuan bersabit keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggantung keahliannya selama dua penggal bermula 8 Mei lalu.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin parti itu diterima dengan hati terbuka tanpa sebarang penyesalan selepas didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Bersatu.

“Saya tidak akan membuat sebarang rayuan terhadap hukuman yang dikenakan. Ini kerana kesalahan yang dilakukan juga boleh dipersoalkan.

“Apa salah saya menghadiri program yang dianjurkan oleh individu yang telah digantung dan dipecat parti sedangkan ia sebagai tanda simpati kepada sahabat seperjuangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ikmal Hisyam berkata, beliau menerima Notis Tunjuk Sebab bertarikh 29 April lalu susulan aduan diterima Lembaga Disiplin pada 20 April 2026.

Katanya, antara dakwaan terhadap beliau adalah menghadiri program politik yang dianjurkan individu yang telah digantung dan dipecat parti selain hadir ke Program Aidilfitri ‘Reset Malaysia’ pada 10 April lalu.

“Saya hairan kenapa kehadiran ke majlis seumpama itu yang bertujuan mengeratkan silaturahim dan meraikan Aidilfitri dianggap satu kesalahan,” soalnya.

Ikmal Hisham mendakwa tindakan tersebut mempunyai niat untuk menghalangnya daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Katanya, kedudukan beliau sebagai calon pilihan raya tidak ditentukan oleh Bersatu sebaliknya rakyat di kawasan Parlimen Tanah Merah.

“Saya akan tetap bertanding jika rakyat Tanah Merah terus menyokong saya walaupun bukan lagi di bawah payung Bersatu.

“Saya juga akan terus bersuara atas nama Perikatan Nasional (PN) memandangkan beliau kekal sebagai Ahli Parlimen gabungan tersebut dan bertanding menggunakan lambang Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu,” katanya.

Menyentuh hala tuju politiknya, Ikmal Hisham berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan memandangkan statusnya ketika ini hanyalah digantung dan bukannya dipecat daripada parti.

“Insya-Allah apabila tiba masanya saya akan memaklumkan hala tuju politik saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN