Saya minta anak fokus belajar sahaja, duit nanti mommy fikir - Rita Rudaini - Utusan Malaysia

Saya minta anak fokus belajar sahaja, duit nanti mommy fikir – Rita Rudaini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini sentiasa berusaha menyeimbangkan kerjaya dan tanggungjawab sebagai ibu dengan memberi perhatian terhadap keperluan emosi anak-anaknya.

Menurut Rita atau Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, sebagai ibu tunggal, dia tidak mahu anak-anak berasa terabai atau sunyi tanpa tempat untuk bercerita.

“Memang bekerja itu penting, saya keluar mencari duit, tetapi saya atur masa juga. Saya tak nak terlalu sibuk mencari duit sampai anak-anak terabai.

“Saya tak suka begitu kerana anak-anak perlukan kita juga. Kalau mereka di rumah, mereka suka ajak keluar, misalnya pergi minum kopi.

“Di situlah kami bercakap, bercerita dan bersembang macam kawan-kawan. Bagi saya, perkara itu penting. Kalau asyik cari duit sahaja pun tak boleh juga sebab saya takut jiwa anak saya kosong,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Rita bersyukur apabila perkongsiannya di media sosial mengenai perjalanan membesarkan anak-anak sendirian menjadi inspirasi kepada ramai ibu tunggal di luar sana.

“Sebenarnya berat juga. Apa yang saya mampu buat, saya buatlah. Cuma sebab saya selebriti, orang nampak apa yang saya lakukan.

“Kadang-kadang saya risau juga bila berkongsi kerana takut orang kata saya menunjuk-nunjuk.

“Tetapi apabila saya menerima maklum balas, komen dan mesej peribadi (DM), ramai yang minta saya terus berkongsi kerana mereka kata saya memberi semangat kepada mereka. Sebab itu saya teruskan.

“Kalau orang nak kata saya riak atau menunjuk, terpulanglah. Apa yang penting, saya mahu menaikkan semangat ibu-ibu di luar sana. Ada juga ibu yang mengadu anak remaja mereka susah dijaga.

“Zaman sekarang tidak seperti dulu. Budak-budak sekarang berani melawan. Sebab itu saya tegas. Saya tak nak anak saya jadi seperti saya,” katanya.

Pada masa sama, Rita menjelaskan dia memberi kebebasan kepada kedua-dua anak lelakinya memilih haluan hidup masing-masing asalkan pendidikan tetap menjadi keutamaan.

“Saya okay sahaja dengan pilihan anak-anak, cuma saya pesan kalau nak jadi ahli sukan, kena cerdik dan bijak. Pelajaran tetap perlu diutamakan.

“Anak saya, Rayyan, pernah cakap dia minat bidang kejuruteraan dan kalau boleh mahu sambung belajar di luar negara. Saya okay dan sentiasa menyokong.

“Saya kata, kalau nak buat sesuatu, kena buat betul-betul. Tentang duit, jangan fikir. Itu mommy pandai-pandailah uruskan. Dia fokus belajar sahaja.

“Macam sekarang, dia cakap yuran tuisyen mahal. Memang mahal, tetapi saya pesan jangan fikir pasal itu. Belajar sahaja, duit biar mommy yang fikir,” katanya.

Untuk rekod, Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak Aidil Zafuan Abd Radzak pada 2008 sebelum bercerai pada 2013.

Hasil perkahwinan selama lima tahun itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN