KUALA TERENGGANU: Penguatkuasaan lesen dan bayaran bagi pengambilan serta penggubahan sumber air di negeri ini tidak melibatkan sebarang aktiviti sara diri termasuk pertanian mahu pun telaga tiub atau boring.
Pengarah Lembaga Sumber Air Terengganu (Laut), Safura Mad Juhari berkata, peruntukan berkenaan hanya terpakai kepada sektor komersial sahaja sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 48, Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020.
Katanya, berdasarkan seksyen itu, mana-mana pengguna atau penghuni premis yang menyedut atau mengepam air bagi kegunaan isi rumah, pertanian dan penternakan sara diri dikecualikan daripada lesen serta bayaran.
“Sehubungan itu, pemilik pertanian dan penternakan sara diri yang mengabstrak air kurang daripada 10,000 liter sehari tidak perlu membuat permohonan lesen.
“Peraturan ini bertujuan mengelak sebarang insiden tidak diingini termasuk kejadian krisis air yang berlaku baru-baru ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sejak semalam, rata-rata rakyat keliru dengan notis pemberitahuan yang dikeluarkan Laut berhubung Peraturan-Peraturan Pengabstrakan Air dan Aktiviti Penggubahan Sumber (Terengganu) 2021.
Safura berkata, penguatkuasaan berkenaan dalam masa sama membolehkan pihak lembaga merekodkan dan mengawal sebarang aktiviti yang melibatkan sumber air termasuk berkaitan isu pencemaran. – UTUSAN ONLINE