IPOH: Tiga lelaki dan dua wanita yang sudah lengkap divaksin pencegahan Covid-19 menamatkan larian sejauh 50 kilometer dalam tempoh kira-kira lima jam semalam bagi menyangkal dakwaan kononnya vaksin tersebut melemahkan tubuh manusia.
Kelima-lima mereka berusia antara 30 hingga 53 tahun memulakan larian dari Stesen Minyak Shell Simpang Pulai di sini kira-kira pukul 6.10 pagi sebelum tiba di Cameron Highland lebih kurang 11 pagi.
Larian yang dinamakan ‘Larian Hari Malaysia Kenali Ubat Anda bertemakan Vaksin Tidak Melemahkan Anda’ dianjurkan oleh Program Penggunaan Ubat Berkualiti (PUB-D) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dengan kerjasama Pasukan Berbasikal Ipoh 4.2.
Pengarah program, Ahmad Ayzat Ahmad Jaafar berharap larian itu menjadi contoh dan penggalak kepada orang ramai agar lebih yakin dengan program vaksinasi Covid-19 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Program vaksinasi secara menyeluruh adalah antara agenda terpenting di zaman pandemik Covid-19. Namun begitu, terdapat banyak halangan yang perlu ditempuhi terutamanya bagi meyakinkan masyarakat yang menolak vaksinasi.
“Pelbagai tohmahan dan tuduhan yang tidak tepat telah disebarkan kepada umum, antaranya vaksinasi melemahkan individu yang mengambilnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, menurut Ahmad Ayzat, mengambil semangat Hari Malaysia semalam, PUB-D HRPB bekerjasama dengan Pasukan Berbasikal lpoh 4.2 untuk menzahirkan aktiviti kesihatan melalui acara larian tersebut.
Jelasnya, melalui program larian itu, pihak penganjur berharap dapat memberi impak positif dan meyakinkan segenap masyarakat tentang kepentingan vaksin dan menafikan pendapat-pendapat negatif berkaitan vaksin.
Selain itu, ujarnya kepentingan menjaga kesihatan tubuh badan secara umumnya dapat ditekankan kepada orang ramai. – UTUSAN