Sindiket edar bunga ganja RM1.82 juta tumpas, polis buru ‘Luna’

Sindiket edar bunga ganja RM1.82 juta tumpas, polis buru ‘Luna’

HUSSIEN Omar Khan (kanan) menunjukkan bunga ganja yang dirampas dalam serbuan di sekitar Kelantan pada awal Januari lalu. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran bunga ganja selepas merampas 52 kilogram (kg) bahan itu yang bernilai RM1.82 juta menerusi dua siri serbuan di sekitar Kuala Krai, 3 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 32 tahun hingga 50 tahun hasil maklumat riskan selama empat bulan.

“Serbuan pertama anggota polis mengejar suspek di Jalan Kota Bharu-Gua Musang. Bagaimanapun, satu pelanggaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Exora yang dipandu suspek utama berlaku.

“Polis menahan suspek terbabit dan merampas sebanyak 320 bungkusan plastik lutsinar berisi bunga ganja dengan anggaran berat 52 kilogram,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Hussein berkata, serbuan kedua di Taman Sri Guchil, di sini pula polis menahan dua lagi individu selepas mengejar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan aktif sejak September 2024 dan mereka kini ditahan reman dua minggu.

“Modus operandi sindiket adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dari kawasan Pengkalan Jambu, Rantau Panjang sebelum dibawa ke sebuah rumah transit di Hujung Kampung Pulau Gajah, Sabak, Pengkalan Chepa untuk diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Nilai rampasan tersebut boleh mencecah puluhan juta ringgit sekiranya dadah berkenaan dapat diseludup ke pasaran antarabangsa dan berpotensi merosakkan kira-kira 104,000 penagih termasuk generasi muda sekiranya terlepas ke pasaran,” ujarnya.

Hussein berkata, suspek utama dipercayai bertindak sebagai koordinator sindiket manakala dua orang lagi berperanan sebagai transporter.

Susulan itu, katanya, polis memburu  seorang wanita berusia 30-an yang dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket penyeludupan dadah.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita yang dikenali sebagai Luna dan berasal dari Golok, Thailand itu dipercayai mempunyai dua kerakyatan.

“Hasil risikan mendapati suspek kini disyaki berada di negara jiran bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selepas sindiket yang diketuainya terbongkar. Usaha mengesan suspek dilaksanakan melalui pihak berkuasa Thailand,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN