KUALA LUMPUR: “Seronok bila ada rezeki lebih, kita mampu tolong ramai orang.”
Demikian pandangan penyanyi rap, Lukmanul Hakim atau Kmy Kmo, 36, mengenai keutamaan mengejar kejayaan dunia dan akhirat yang selaras tuntutan Islam.
Berkongsi dalam Threads, komposer dan penulis lirik tersebut berpendapat kekayaan yang dikumpul seharusnya dimanfaatkan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.
“Kenapa kita wajib bekerja keras dan berjaya dunia dan akhirat? Bila kita berjaya dunia, menjadi hartawan yang baik, kita juga akan jadi dermawan yang baik.
“Seronok bila ada rezeki lebih, kita mampu tolong ramai orang, mampu kembalikan senyuman dan keharmonian dalam hidup setiap insan yang tidak pernah berhenti berharap,” katanya.
Berkongsi lanjut, pencipta lagu 7 Nasihat itu juga berpendapat nikmat yang dimiliki setiap manusia juga menjadi asbab untuk kebaikan orang lain.
“Allah maha kaya lagi maha pemurah. Apa yang kita minta, itu yang kita dapat dan kita akan hadir dalam hidup seseorang sebagai asbab yang sama,” ujarnya. – UTUSAN











