PETALING JAYA: Pihak berkuasa perlu peka dan tegas dalam membanteras sebarang aktiviti mempromosikan budaya songsang yang jelas bertentangan dengan fitrah manusia serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, setiap penganjuran program awam di negara ini perlu menghormati sensitiviti agama, undang-undang serta norma budaya tempatan.
Katanya, program awam tidak boleh dijadikan platform untuk menormalisasikan budaya yang bercanggah dengan enakmen jenayah syariah sedia ada.
Tegasnya, penggunaan istilah ‘pride’ yang dikaitkan dengan gerakan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) merupakan satu usaha normalisasi terhadap perbuatan yang jelas diharamkan dalam Islam dan bercanggah dengan nilai moral serta budaya tempatan.
“Agama Islam amat menitikberatkan kesucian akhlak dan keutuhan sistem kekeluargaan yang dibina atas fitrah kejadian lelaki dan wanita.
“Penganjuran program yang menyuntik elemen budaya songsang, walaupun diselindungi aktiviti rekreasi seperti glamping tetap merupakan satu bentuk promosi maksiat secara terbuka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian menerusi Tinta Mufti ketika mengulas penularan penganjuran sebuah program bertajuk ‘Glamping With Pride’ yang dikesan mempromosikan gaya hidup dan budaya songsang, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam.
Sebelum ini, sebuah persatuan yang menggelarkan organisasi mereka sebagai kumpulan sokongan pemuda ‘queer, gay dan biseks’ memuat naik satu poster di Instagram.
Persatuan itu didakwa bakal menganjurkan program santai bersama ahli komuniti selama dua hari satu malam iaitu pada 17 dan 18 Januari, dipercayai di sekitar Hulu Langat.
Pautan pendaftaran program turut memaparkan lima pilihan gender iaitu lelaki cisgender, perempuan cisgender, lelaki transgender, perempuan transgender dan bukan binari.
Ahmad Fauwaz berkata, daripada sudut Maqasid Syariah, penganjuran program sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) kerana pernikahan antara pasangan berlainan jantina disyariatkan bagi mengembangkan zuriat secara sah serta mencegah kerosakan akibat zina dan hubungan sejenis.
Katanya, tindakan mempromosikan budaya tersebut juga dianggap sebagai penyebaran ‘fahsya’ atau perkara keji dalam kalangan orang beriman, selain bercanggah dengan nilai perundangan dan kemasyarakatan negara ini.
“Masyarakat diseru agar tidak memberikan sebarang sokongan atau pengiktirafan terhadap program yang mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan akidah dan akhlak generasi muda.
“Sikap berdiam diri terhadap kemungkaran yang dipromosikan secara terang-terangan dibimbangi akan mengundang bala yang menyeluruh. Masyarakat perlu bersama-sama mencegah kemungkaran ini mengikut kemampuan dan peranan masing-masing.
“Individu atau kumpulan yang terlibat juga wajar dikenakan tindakan tegas serta hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan,” katanya. – UTUSAN










