Pengalaman mualaf dihalau dari bilik sewa setelah peluk Islam

Pengalaman mualaf dihalau dari bilik sewa setelah peluk Islam

MUHAMMAD Firdaus Abdullah (kanan) berbual mesra dengan Zolkifly Md. Lazim pada Program Menyantuni Mualaf di Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Bagi seorang mualaf, tiada apa yang begitu mencabar dan mengejutkan dalam hidupnya melainkan peristiwa dihalau keluar dari bilik sewa apabila pemilik mengetahui dirinya telah memeluk agama Islam.

Itulah yang berlaku kepada Muhammad Firdaus Abdullah, 60, setelah kurang dua minggu beliau memeluk Islam.

“Saya peluk Islam pada Mac 2024. Pada mulanya memang saya merahsiakan bahawa saya telah peluk Islam. 

“Saya menyewa di sebuah bilik sekitar George Town, Pulau Pinang.

“Satu ketika pegawai zakat datang menziarahi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai diri saya. Ketika itu rahsia saya terbongkar. Tapi bukan salah pegawai zakat itu, sebab saya pun tidak terfikir akan dihalau keluar dari bilik sewa berkenaan,” katanya memulakan perbualan ketika ditemui pada Program Menyantuni Mualaf  anjuran Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah di sini.

Menceritakan lebih  lanjut perjalanan hidupnya, beliau berkata, satu ketika beliau hendak pulang ke bilik sewa pada malam hari dan hairan kenapa pintu rumah tidak boleh dibuka walaupun setelah menggunakan kunci yang ada.

“Ketika itu barulah saya tahu bahawa kunci rumah telah ditukar. Hanya saya seorang sahaja yang tidak boleh masuk ke rumah.

“Saya terpaksa tidur di luar dan mujurlah ada sikit duit untuk menyewa bilik lain hanya satu malam,” katanya.

Keesokan harinya, Muhammad terpaksa meminta seorang rakan mualaf lain membantunya termasuk mengeluarkan barang-barang dan mencari bilik sewa lain.

“Memang saya sedih. Saya tidak pernah terfikir begitulah nasib saya,” katanya yang pernah berumah tangga pada tahun 1987 dan kemudian berpisah pada 1990 serta mempunyai seorang  anak lelaki yang kini berusia 38 tahun.

Namun jelas Muhammad, beliau tidak marah atau berdendam dengan kejadian itu, sebaliknya menganggap ia sebagai ujian Allah SWT.

Mengenai permulaan hidupnya, beliau berkata, selepas tiga hari dilahirkan di Balik Pulau, beliau telah `dijual’ kepada sebuah keluarga angkat.

“Bermulalah hidup saya dengan keluarga angkat dan saya hanya mengetahui siapa sebenar keluarga kandung saya setelah berusia 19 tahun.

“Memang sedih apabila mengetahui saya anak angkat. Tapi itulah kenyataannya,” katanya yang pernah bekerja sebagai kerani syarikat kontraktor.

Muhammad berkata, walaupun mempunyai seorang anak lelaki tetapi mereka membawa haluan hidup masing-masing.

Ketika berusia 53 tahun, beliau diserang angin ahmar dan bermula dari situ Muhammad tidak lagi dapat bekerja dan mengharapkan bantu Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Ketika itu saya sering berfikir apakah kesudahan hidup saya dan ke mana hala tuju pengakhiran hidup saya.

“Akhirnya saya bersyahadah pada Mac 2024. Saya bersyukur kerana ramai kawan-kawan mualaf yang sering membantu dan membimbing saya,” katanya.

Mengenai puasa Ramadan,  beliau cuba berpuasa pada tahun pertama dan sepanjang Ramadan hanya lima hari sahaja gagal berpuasa.

“Rasa penat,” katanya tersenyum dan menambah pada tahun lalu pula hanya tiga hari sahaja gagal berpuasa penuh.

“Harap-harap Ramadan kali ini saya dapat berpuasa penuh,” katanya.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata, sebaik sahaja mengucapkan syahadah, surah al-Quran pertama yang dipelajari ialah Al-Fatihah.

“Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim yang memimpin pengIslaman saya mengajar surah Al-Fatihah dari semasa ke semasa.

“Ketika solat berjemaah, apabila imam membaca Al-Fatihah,  saya akan ikuti perlahan-lahan bacaan itu bagi membolehkan saya menghafalnya,” kata Muhammad mengakhiri perbualan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN