KPDNHEP, MAFI pantau peniaga ayam kaut untung - Utusan Malaysia

KPDNHEP, MAFI pantau peniaga ayam kaut untung

Ronald Kiandee (kanan) bersama Alexander Nanta Linggi pada Mesyuarat Pelan Tindakan Kenaikan Harga Ayam Antara KPDNHEP dan MAFI di Putrajaya semalam..
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), memantau rapi isu kenaikan harga ayam standard melebihi RM10 sekilogram di beberapa kawasan di seluruh negara.

Menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan data oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP, sebanyak 14.58 peratus atau 98 premis runcit diperiksa menjual ayam standard dengan harga melebihi RM10 sekilogram pada 13 September 2021.

Katanya, KPDNHEP melaksanakan pendekatan baharu dengan mengadakan sesi libat urus secara terus dengan peniaga di lokaliti yang mengalami kenaikan harga ayam. 

“Usaha itu membuahkan hasil apabila data menunjukkan trend penurunan harga ayam berbanding pada awal September yang lalu dan dijangka berterusan.

“Setakat 20 September , hanya 1.74 peratus atau 10 premis masih menjual ayam pada harga melebihi RM10 sekilogam,” katanya dalam satu kenyataan bersama Menteri MAFI, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Semalam, KPDNHEP dan MAFI mengadakan mesyuarat bersama bagi meneliti beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan dalam menangani isu harga ayam ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, Timbalan Menteri satu MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah serta pegawai-pegawai tertinggi kedua-dua kementerian. 

Ronald berkata, hasil perbincangan bersama pihak industri, mereka bersetuju menurunkan lagi harga ayam di peringkat pengeluar dan ladang supaya harga di peringkat borong dan runcit juga dapat distabilkan.

Menurutnya, kerajaan turut mempertimbangkan kawalan harga di semua peringkat disokong dengan pemberian subsidi kepada rantaian tertentu sebagai salah satu usaha menangani isu kenaikan harga ayam itu.

“Cadangan untuk melaksanakan sistem permohonan permit import (AP) bagi penjualan ayam juga diusulkan sekiranya usaha kerajaan untuk menangani isu harga ayam ini tidak mendapat kerjasama daripada peniaga di semua peringkat,” jelasnya.

Beliau menambah, tindakan tegas akan diambil oleh pihak KPDNHEP menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah.

Sekira disabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi suatu perbadanan atau syarikat dan bagi bukan perbadanan atau individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN