KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan kekal memerintah di negeri ini sepanjang tempoh lima tahun ini, biarpun Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama parti-parti dalam gabungan GRS masih lagi kukuh dan akan diteruskan sehingga 2025, iaitu sehingga habis satu penggal.
“Ya, mandat kita adalah untuk tempoh lima tahun jadi tiada sebab untuk kita tidak meneruskan memerintah sepanjang tempoh berkenaan,” katanya selepas Majlis Setahun Kerajaan GRS bersama rakyat, di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berulang kali menyatakan pendirian UMNO Sabah untuk kekal bersama GRS.
Pendirian ini dinyatakan dengan mengambil kira kuasa autunomi yang ada pada UMNO Sabah untuk membuat keputusan di peringkat negeri.
Bung Moktar berkata, kerjasama di Sabah akan terus dikekalkan bagi menghormati mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
Selepas PRN Sabah ke-16, GRS ditubuhkan dengan gabungan parti seperti UMNO, Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah , PAS serta Parti Bersatu Sabah (PBS).
Dalam PRN Sabah, 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi oleh GRS. Daripada jumlah itu, 14 kerusi milik Barisan Nasional-UMNO, 17 kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan enam kerusi Parti Bersatu Sabah (PBS).
Sementara itu, 32 kerusi pula dimenangi oleh Parti Warisan Sabah (Warisan), Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) serta tiga Bebas.- UTUSAN ONLINE