KUANTAN: Program penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) yang diperkenal kerajaan bagi mencegah penularan HIV dalam kalangan pasangan berisiko tinggi khususnya homoseksual dipersoal keberkesanannya apabila Malaysia terus merekodkan peningkatan kes baharu jangkitan tersebut.
Mula dilaksanakan pada Januari 2023, PrEP adalah sebahagian strategi pencegahan HIV di bawah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan dengan kos pelaksanaannya mencecah RM1.07 juta sehingga Jun lalu.
Dana bagi pembelian ubat PrEP ini disalurkan melalui Majlis AIDS Malaysia (MAM) dengan sokongan Global Fund, sebagai usaha mengurangkan kadar jangkitan HIV dalam kalangan kumpulan berisiko.
Sumber mendakwa, timbul kebimbangan penggunaan PrEP disalah tafsir oleh segelintir pihak sebagai ‘lesen’ untuk menggalakkan aktiviti seks songsang, khususnya hubungan sesama lelaki yang dikaitkan dengan fenomena chemsex, iaitu penggunaan dadah sintetik bagi meningkatkan keseronokan seksual.
“Program PrEP perlu dikaji semula kerana ia seolah-olah memberi ruang kepada budaya songsang terus berkembang tanpa kawalan.
“Kerajaan harus menilai semula pendekatan ini. Pencegahan HIV tidak boleh hanya bergantung kepada ubat tetapi mesti disertai pendidikan moral dan kesedaran sosial,” dakwa sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan, seramai 9,309 individu mengambil PrEP sehingga Jun lalu dengan majoriti pengguna berasal dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 2,679 orang (28 peratus), diikuti Selangor (23 peratus) dan Johor (12 peratus).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, jumlah kos perbelanjaan bagi pelaksanaan projek PrEP ialah RM1.7 juta, meliputi tempoh Januari 2023 hingga 30 Jun 2025, khusus untuk pembelian ubat.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia merekodkan sebanyak 3,230 kes baharu HIV pada 2023 dengan hampir 90 peratus jangkitan melibatkan golongan lelaki, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap corak penularan penyakit itu di negara ini.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 62 peratus kes dikenal pasti melibatkan lelaki yang menjalinkan hubungan sejenis, angka yang disifatkan terlalu tinggi berbanding peratus kumpulan itu dalam komposisi populasi negara.
Pada 2 Disember lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan supaya tiada sebarang kegiatan tidak bermoral atau songsang berlaku di negeri ini.
Baginda membuat peringatan itu selepas mengakui terkejut dengan laporan bahawa lebih 200 lelaki yang juga pengunjung sebuah pusat kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur ditahan selepas disyaki terbabit aktiviti tidak bermoral.
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, angka jangkitan baharu HIV yang masih tinggi menimbulkan persoalan sama ada PrEP benar-benar mencapai matlamat asalnya.
“Walaupun PrEP diperkenalkan dengan niat murni untuk mengekang HIV, realiti di lapangan menunjukkan cabaran besar masih wujud khususnya apabila ia dikaitkan dengan gaya hidup berisiko tinggi yang semakin berleluasa.
“Faktor kepatuhan terhadap rejimen PrEP menjadi isu utama. Ramai pengguna didapati tidak mengambil ubat secara konsisten, sekali gus mengurangkan keberkesanan perlindungan yang sepatutnya ditawarkan. Kekurangan kesedaran, stigma sosial dan akses yang terhad kepada rawatan kesihatan menambah lagi kerumitan dalam usaha memastikan PrEP benar-benar berfungsi sebagai benteng pencegahan HIV.
“Lebih membimbangkan, terdapat kebimbangan bahawa sebahagian individu mungkin berasa terlalu yakin dengan perlindungan PrEP sehingga mengabaikan langkah pencegahan lain seperti penggunaan kondom,” dakwanya. – UTUSAN










