KUALA LUMPUR: Jangkitan HIV dan AIDS di Malaysia menunjukkan perubahan landskap mod jangkitan yang ketara iaitu daripada perkongsian jarum suntikan dadah kepada transmisi seksual.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, pada 2024 sebanyak 96 peratus punca jangkitan HIV direkodkan adalah melalui seksual dengan 32 peratus daripadanya secara heteroseksual dan 64 peratus homoseksual ataupun biseksual.
“Majoritinya adalah dalam kalangan lelaki 90 peratus berbanding wanita sebanyak 10 peratus. Trend ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun 1990 di mana wanita hanya satu peratus dan lelaki 99 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) berkenaan keadaan semasa jangkitan HIV dalam negara termasuk jumlah pesakit HIV mengikut kategori umur dan jantina serta punca utama jangkitan.
Dzulkefly berkata, 75 peratus kes HIV yang dilaporkan pada 2024 melibatkan golongan belia daripada kumpulan umur antara 20 hingga 39 tahun.
Katanya, kadar penurunan jangkitan baharu HIV dan AIDS semakin perlahan mulai 2010 sehingga kini iaitu hanya 27 peratus berbanding penurunan sebanyak 50 peratus antara 2000 hingga 2009.
Beliau berkata, pada 2024, sebanyak 3,185 kes HIV baharu dilaporkan dengan kadar notifikasi 9.4 bagi setiap 100,000 penduduk. – UTUSAN










