UEC dan Najib: Dua senjata DAP rebut undi Cina?

UEC dan Najib: Dua senjata DAP rebut undi Cina?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEKALAHAN mutlak DAP di Sabah bukan sekadar keputusan pilihan raya. Ia adalah tamparan politik. Lebih tepat, isyarat jelas bahawa aura lama parti itu semakin pudar, termasuk dalam kalangan pengundi Cina yang selama ini dianggap benteng paling setia.

Hakikatnya mudah, DAP tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi. Tiada alasan teknikal. Bandingkan dengan PRN 2020, enam kerusi dimenangi, dominasi bandar masih utuh. Kini, sifar.

Dan apabila parti yang selama ini mendakwa dirinya ‘konsisten’ mula kehila­ngan tapak, persoalan besar timbul, apa yang tidak kena?

Kekalahan ini tidak boleh dilihat sebagai isu lokal Sabah semata-mata. Ia adalah amaran awal bahawa sokongan tradisi khususnya pengundi Cina tidak lagi automatik. Undi bukan lagi warisan. Ia perlu dipertahankan, malah dirayu semula.

Dengan Pilihan Raya Umum 16 (PRU16) semakin menghampiri, DAP berdepan dilema parti dominan-kembali kepada isu prinsip atau terus bermain selamat dalam kerajaan?

Jawapan yang dipilih DAP kelihatan jelas iaitu kembali ke medan emosi pengundi Cina. Dan di sinilah dua isu lama kembali diangkat – isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Isu pengiktirafan UEC bukan baharu. Ia sudah berdekad-dekad menjadi simbol tuntutan pendidikan masyarakat Cina. Namun, ia juga isu yang tidak pernah benar-benar diselesaikan, walaupun DAP kini berada dalam kerajaan.

Menghidupkan semula tuntutan UEC pada fasa genting ini dilihat bukan kebetulan. Ia adalah isyarat politik dan mesej kepada pengundi Cina bahawa DAP masih ‘berjuang’, walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan yang sarat dengan kompromi.

Dalam masa sama, DAP menegaskan semula identiti lama­nya, parti hak, keadilan dan meritokrasi. Persoalannya, ada­kah identiti itu masih tulen atau sekadar kosmetik pilihan raya?

Lebih menarik, isu kedua yang dimainkan iaitu Najib. Pendekatan DAP dalam hal ini bukan sekadar tegas tetapi provokatif. Kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang menyifatkan keputusan mahkamah sebagai ‘satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’ bukan tersalah cakap. Ia disengajakan. Begitu juga kenyataan Tony Pua yang menolak sebarang simpati terhadap Najib.

Reaksi pemimpin UMNO sudah pasti marah dan terluka. Ada yang mendesak keluar Kerajaan Perpaduan dan menjadi ‘pembangkang bermaruah’.

DAP seolah-olah sedar akan kesannya, namun memilih untuk tidak berundur. Ini ke­rana, dalam imaginasi politik pengundi Cina, ketegasan terhadap rasuah dan kedaulatan undang-undang adalah garis merah. Sekiranya Najib dibenarkan menjalani hukuman secara tahanan rumah, DAP berisiko dilihat tunduk, berkompromi dan akhirnya tidak berprinsip.

Dalam konteks itu, sikap keras DAP bukan semata-mata soal undang-undang. Ia adalah strategi pemulihan imej. Namun, strategi ini datang dengan harga yang mahal. Hubungan dalam

Kerajaan Perpaduan semakin rapuh. Sokongan pengundi Melayu dan bukan Cina berpotensi semakin menjauh.

DAP berdepan dilema, sama ada selamatkan sokongan teras atau kekalkan kestabilan gabungan? Jawapan DAP setakat ini jelas iaitu sokongan teras didahulukan.

Sama ada isu UEC dan pendirian keras terhadap Najib benar-benar mampu mengembalikan keyakinan pengundi Cina masih belum pasti. Yang pasti, keputusan PRN Sabah telah memaksa DAP kembali kepada senjata lama iaitu isu identiti, emosi dan prinsip demi kelangsungan politiknya sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN