KUALA LUMPUR: Kerajaan ketika ini sedang fokus sepenuhnya untuk memastikan semua negeri mencapai sekurangnya-kurangnya 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ini setelah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini telah mencapai peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi melebihi 85 peratus setakat ini.
Malah, katanya, sebagai langkah mempercepatkan proses vaksinasi, pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) melalui Operasi Lonjakan Kapasiti telah berjaya memvaksinasi hampir semua penduduk dewasa di Lembah Klang.
“Sasaran berfokus yang terkini adalah untuk memastikan semua negeri mencapai sekurangnya-kurangnya 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi.
“Insya-Allah hari ini kita akan mencapai sasaran tersebut di mana status Sabah akan mencapai 60 peratus. CITF akan terus memberi tumpuan pengagihan bekalan vaksin ke negeri-negeri yang mempunyai bilangan kes positif Covid-19 yang tinggi berdasarkan data semasa daripada Kementerian Kesihatan,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa sama, beliau menyifatkan, sasaran supaya hampir semua populasi dewasa lengkap dos vaksin sebelum penghujung bulan Oktober boleh dicapai.
“Melalui usaha ini, kerajaan percaya sasaran peralihan fasa melalui Pelan Pemulihan Negara dapat dipercepatkan. Sebagai contoh semalam, Perdana Menteri telah mengumumkan peralihan fasa untuk Lembah Klang daripada Fasa 2 kepada Fasa 3,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jangkaan tempoh imuniti kelompok.