Rebat RM50 tiket penerbangan bantu rakyat pulang Gawai, Kaamatan

Rebat RM50 tiket penerbangan bantu rakyat pulang Gawai, Kaamatan

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan rebat RM50 bagi tiket penerbangan domestik melibatkan laluan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan sempena sambutan Hari Gawai dan Kaamatan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban kos perjalanan rakyat, khususnya dari Sabah dan Sarawak yang bekerja di Semenanjung untuk pulang menyambut perayaan.

Katanya, rebat berkenaan akan berkuat kuasa dari 15 Mei hingga 14 Jun ini dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penumpang.

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi menampung kos rebat ini. Ia akan terus memberi manfaat kepada penumpang kerana disalurkan dalam bentuk pengurangan harga tiket,” katanya dalam Sidang Media Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan rebat itu juga mengambil kira tempoh puncak pergerakan penumpang yang biasanya berlaku satu hingga dua minggu sebelum dan selepas perayaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, dasar sedia ada yang menetapkan harga maksimum RM499 bagi tiket penerbangan tiga hari sebelum Hari Gawai dan Kaamatan akan diteruskan.

Jelasnya, rebat tambahan tersebut diperkenalkan bagi membantu mereka yang melakukan perjalanan di luar tempoh kawalan harga, sekali gus mengurangkan beban kos keseluruhan.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut bersetuju melaksanakan langkah sokongan bagi industri penerbangan termasuk melanjutkan tempoh kredit bayaran fi dan caj kepada syarikat penerbangan daripada 30 hari kepada 60 hari berkuat kuasa 1 Mei ini.

Anthony berkata, langkah itu dipersetujui hasil sesi libat urus bersama pemain industri bagi membantu aliran tunai syarikat penerbangan susulan ketidaktentuan sektor udara ketika ini.

Menurutnya, krisis geopolitik semasa turut memberi kesan kepada industri apabila pembatalan penerbangan antarabangsa, khususnya ke rantau Asia Barat, meningkat secara mendadak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN