PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) mencadangkan kepada Kabinet agar data permintaan dan penggunaan bahan api diumumkan bagi meningkatkan ketelusan serta membolehkan rakyat menilai keberkesanan pelbagai inisiatif penjimatan tenaga yang dilaksanakan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, setakat ini sukar untuk membuat unjuran tepat mengenai pengurangan penggunaan minyak atau kenderaan kerana kesannya hanya boleh dilihat melalui data permintaan semasa.
Menurutnya, data tersebut kini berada di bawah pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan beliau telah mencadangkan agar ia diumumkan kepada umum secara mingguan melalui satu papan pemuka (dashboard) khas.
“Angka ini ada dalam KPDN. Saya telah cadangkan supaya data permintaan penggunaan minyak diumumkan supaya lebih telus kepada rakyat. Biar semua pengguna tahu berapa penggunaan minyak setiap hari,” katanya di Sidang Media Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di sini, hari ini.
Jelasnya, kerajaan tidak boleh bergantung kepada kempen semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk orang ramai bagi memastikan kejayaan usaha penjimatan tersebut.
“Kalau rakyat tidak memainkan peranan masing-masing, tidak ada kempen yang akan berjaya. Semua orang perlu menjankan tanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi langkah yang dilaksanakan di kementeriannya seperti mengurangkan penggunaan elektrik sehingga 10 peratus, sebagai contoh amalan penjimatan yang perlu diikuti semua pihak.
“Jadi saya rasa kita perlu mengingatkan supaya semua orang tanpa kecuali perlu memainkan tanggungjawab. Kalau kita rasa kecil sahaja tidak mengapa untuk membazir, kalau semua fikir begitu, kita tidak akan dapat tangani krisis ini,” katanya. – UTUSAN










