Kedutaan Indonesia berusaha kenal pasti waris korban Covid-19  - Utusan Malaysia

Kedutaan Indonesia berusaha kenal pasti waris korban Covid-19 

HERMONO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedutaan Indonesia dalam proses mengenal pasti lambakan mayat warga asing yang dipercayai turut melibatkan warga Indonesia di hospital-hospital seluruh negara. 

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, pihaknya belum mendapat angka rasmi warga asing yang dipercayai melibatkan warganya dan sentiasa terbuka membantu mencari waris mereka. 

Bagaimanapun, katanya, beberapa kes terbantut kerana mereka yang meninggal itu tidak mempunyai dokumen sekali gus menyukarkan pencarian waris. 

“Mereka tetap dikebumikan di sini pada satu tempoh tertentu sekiranya waris tidak dapat ditemukan kerana sukar membawa pulang mereka yang meninggal akibat Covid-19. 

“Kita juga bukanlah tidak mahu melambatkan pengkebumian, namun prosesnya memerlukan persetujuan daripada waris. 

“Mencari waris juga tidak mudah kerana banyak kes yang tidak ada sebarang dokumen yang dipegang.

“Kita pun tidak pasti sebetul-betulnya warga Indonesia, berkemungkinan juga warga lain kerana (fizikal dan rupa) agak mirip yang memungkinkan warga Indonesia, Malaysia, Nepal atau warga lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Kempen Derma Darah yang dianjurkan Pejabat Kedutaan Indonesia Kuala Lumpur dengan kerjasama Pusat Darah Negara. 

Kempen itu dianjurkan sempena memperingati ulang tahun kemerdekaan Republik Indonesia dan Malaysia yang melibatkan kira-kira warganya. 

KERATAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

Terdahulu, akhbar ini melaporkan puluhan mayat warga asing yang meninggal du­nia akibat Covid-19  belum dituntut kedutaan masing-masing dan ‘terbiar’ di beberapa hospital kerajaan. 

Sebelum ini juga, media melaporkan Kementerian Kesihatan akan bekerjasama rapat dengan pihak kedutaan asing berhubung masalah mayat warga asing yang meninggal du­nia akibat Covid-19 belum dituntut kedutaan masing-masing dan ‘terbiar’ di beberapa hospital kerajaan.

Menurut Hermono, pihaknya sentiasa terbuka  membantu membiayai proses pengkebumian sekiranya waris-waris warga Indonesia dapat ditemukan. 

“Banyak yang sudah dibiayai oleh pejabat kedutaan untuk dikebumikan di sini setelah mendapat persetujuan daripada waris. 

“Jika ada warisnya, maka mudah untuk kita memepercepat pengkebumian,” katanya. 

Tambah beliau, pihaknya tidak menafikan berlakunya tren peningkatan jangkitan dan kematian akibat wabak yang melibatkan warga Indonesia di negara ini. 

“Kita lihat tren peningkatan agak meningkat sejak tiga bulan terakhir ini, tetapi anggarannya agak sukar kerana dilaporkan 10 atau 20 setiap hari (warga Indonesia) meninggal akibat Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN