Kedah struktur semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC)

Kedah struktur semula GLC

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri bakal melakukan penstrukturan semula terhadap beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Kedah dengan kadar segera dan serius.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah tersebut bagi memastikan GLC-GLC terlibat dapat kembali mencapai matlamat sebenar iaitu mendatangkan pendapatan kepada negeri.

Katanya, ketika ini beliau sudah mengenal pasti GLC-GLC yang akan melalui proses penstrukturan semula itu.

“Dah lama sebenarnya GLC tidak menjadi penyumbang kepada pendapatan kerajaan dan disebabkan itu pada tahun depan, kita harap mereka dapat kembali menyumbangkan hasil kepada kerajaan.

“Malah kalau GLC tidak dapat menjana pendapatan kepada negeri, kita boleh pertimbangkan untuk tutup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 melalui sidang video di sini hari ini.

Dalam titah tersebut, baginda turut menyeru agar semua GLC di negeri ini ditransformasikan melalui penstrukturan semula yang lebih konstruktif dan telus dengan kepakaran, pengalaman serta pengetahuan yang luas perlu dijadikan merit dalam pelantikan kepemimpinan tertinggi.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, sejak Jun tahun lalu lagi, beliau telah beberapa kali membuat kenyataan supaya GLC keluar dari zon selesa untuk melebarkan perniagaan ke luar negeri dan tidak hanya bergantung kepada projek perniagaan.

“Tetapi kebanyakan GLC di Kedah ini begitulah (bergantung kepada projek kerajaan). Individu yang berada di GLC tidak boleh bermentaliti sebagai pekerja kerajaan atau penjawat awam sebaliknya mereka adalah ahli perniagaan yang berperanan untuk menjana pendapatan.

“Tak boleh ada perasaan selamat kononnya untung atau tidak, kerajaan akan tolong kita. Tak boleh begitu,” tegasnya.

Tambahnya, penstrukturan semula itu dijangka tidak hanya akan melibatkan ahli lembaga pengarah GLC terlibat malah mereka yang berada di bahagian pengurusan.

Sementara itu katanya, Kedah akan menerima sebanyak 1.4 juta dos vaksin pada September ini sebagai sebahagian daripada langkah untuk membolehkan lebih ramai individu yang layak menerima vaksinasi secepat mungkin.

“Vaksin-vaksin itu diyakini turut mampu menampung golongan keperluan vaksinasi untuk golongan remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN