Kedah mohon buka hospital medan  - Utusan Malaysia

Kedah mohon buka hospital medan 

Kerajaan mewujudkan hospital medan ATM bagi menampung rawatan pesakit Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membuka hospital medan dengan kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik Covid-19 Kebangsaan esok.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu penting berikutan kadar penggunaan katil di wad ICU yang masih tinggi di negeri ini iaitu 79.9 peratus sekali gus mengekang peralihan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Nilai ambang dari sudut penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 yang tidak dapat diturunkan ke bawah 70 peratus menyebabkan Kedah tidak dapat bergerak ke Fasa Kedua Pelan PPN.

“Realitinya adalah Kedah memiliki jumlah katil ICU yang terhad iaitu hanya terdapat di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani dan Hospital Kulim sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Hospital Medah ATM itu boleh dibuka sama ada di Alor Setar, Sungai Petani atau Kulim mengikut keperluan dan kesesuaian logistik.

Semalam, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md. Saad berkata, kadar penggunaan katil hospital termasuk di wad ICU yang masih tinggi adalah antara faktor Kedah dan Johor masih belum beralih ke Fasa Dua PPN walaupun kadar vaksinasi di kedua negeri itu berada pada tahap yang baik.

Ketika ini negeri-negeri yang diletakkan di bawah Fasa Satu PPN ialah Kedah dan Johor, Fasa Dua (Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Sabah), Fasa Tiga (Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak) serta Fasa Empat ialah Labuan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya