Suspek kebakaran LA minta ChatGPT gambarkan bandar terbakar

Suspek kebakaran LA minta ChatGPT gambarkan bandar terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Seorang lelaki yang dituduh mencetuskan Kebakaran Palisades di Los Angeles didakwa berulang kali menggunakan ChatGPT untuk menghasilkan imej sebuah bandar yang dilanda kebakaran dan banjir sebelum kejadian itu berlaku.

Perkara itu didedahkan kepada juri pada Khamis apabila pihak pendakwaan mengemukakan bukti bahawa Jonathan Rinderknecht turut memaki chatbot milik OpenAI itu selepas permintaannya ditolak kerana dianggap melanggar dasar kandungan syarikat.

Menurut keterangan seorang ejen persekutuan yang membantu mengekstrak data daripada dua telefon bimbit milik tertuduh, Rinderknecht beberapa bulan sebelum kebakaran pada 1 Januari 2025 kerap meminta ChatGPT menghasilkan imej yang menggambarkan ketidaksamaan kekayaan dengan latar kemusnahan besar-besaran.

Pihak berkuasa mendakwa kebakaran belukar yang dicetuskan tertuduh kemudian merebak menjadi Kebakaran Palisades yang memusnahkan salah satu kawasan kejiranan paling mewah di Los Angeles.

Juri turut ditunjukkan transkrip perbualan antara Rinderknecht dan ChatGPT yang menunjukkan chatbot itu berulang kali menolak permintaannya atas alasan kandungan yang diminta mengandungi unsur keganasan dan penderitaan melampau.

Pendakwa raya berhujah, Rinderknecht berasa kecewa kerana bersendirian pada malam sambutan Tahun Baharu dan didorong oleh kemarahan terhadap ketidaksamaan sosial serta kewangan untuk menyalakan api di sebuah taman negeri di kawasan tinggi Pacific Palisades menggunakan pemetik api barbeku.

Bagaimanapun, peguam bela Rinderknecht menegaskan anak guamnya tidak bersalah dan hanya dijadikan ‘kambing hitam’ susulan kegagalan pihak bomba menghalang Kebakaran Lachman pada 1 Januari daripada tercetus semula enam hari kemudian.

Menurut pembelaan, kebakaran yang pada awalnya berjaya dikawal itu bertukar menjadi Kebakaran Palisades selepas bara api di bawah tanah dihidupkan semula oleh angin berkekuatan taufan.

Dalam satu arahan kepada ChatGPT, Rinderknecht yang ketika itu berusia 29 tahun meminta chatbot itu menghasilkan gambaran ombak tsunami besar bersama sekumpulan pokok yang terbakar, manakala sebahagian penduduk melarikan diri dan ada yang menoleh ke belakang sambil menjerit, menderita serta lemas.

Permintaan itu ditolak oleh ChatGPT yang memaklumkan ia masih mengandungi unsur yang tidak mematuhi dasar kandungan syarikat, termasuk gambaran penderitaan secara meluas.

Menurut transkrip yang dikemukakan di mahkamah, Rinderknecht kemudian membalas: “Itulah realitinya.”

Juri turut diperlihatkan beberapa lagi perbualan yang menunjukkan tertuduh memarahi dan menghamburkan kata-kata kesat terhadap chatbot itu selepas permintaannya berulang kali ditolak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN