TUMPAT: Hanya kerana upah RM50 bagi setiap penghantaran, seorang lelaki sanggup menjadi penghantar minyak masak yang dipercayai mahu diseludup ke Thailand sebelum diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Simpangan di sini, semalam.
Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan pada pukul 1.45 petang semasa melalui sekat pintas Simpangan.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komsioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan 969 kilogram (kg) minyak masak yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.
Katanya, suspek mengaku menerima upah RM50 bagi setiap trip daripada seorang individu untuk menghantar bekalan minyak masak tersebut.
“Siasatan awal mendapati suspek mengambil minyak masak yang ditinggalkan di dalam sebuah kenderaan di Cabang Empat Tok Mek Ngah sebelum menghantarnya ke pangkalan haram sekitar Kampung Simpangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang digunakan dianggarkan RM32,422.50. – UTUSAN










