Malaysia jadi saksi pertemuan pertama Nadhif, Fabio Asher - Utusan Malaysia

Malaysia jadi saksi pertemuan pertama Nadhif, Fabio Asher

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi  Indonesia, Fabio Asher dan Nadhif Basalamah tidak menyangka bakal dipertemukan buat kali pertama di pentas yang sama menerusi Konsert Rumah Hati yang akan berlangsung di Malaysia pada bulan hadapan.

Menurut Fabio, 32, walaupun mengikuti perkembangan kerjaya Nadhif, mereka belum pernah berkolaborasi atau bertemu dalam mana-mana acara sebelum ini.

“Ini adalah kali pertama saya dan Nadhif berkolaborasi. Di Indonesia pun kami belum pernah terlibat dalam sebarang persembahan atau acara yang sama.

“Jadi, peluang untuk berkongsi pentas bersama di Malaysia ini sangat istimewa dan mengujakan buat saya.

“Malaysia juga sudah seperti rumah kedua kerana hampir setiap tahun saya berkunjung ke sana. Malah, peminat di Malaysia sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa.

“Kunjungan kali ini lebih bermakna kerana saya hadir bersama Nadhif Basalamah,” katanya dalam sesi temu bual secara dalam talian bersama media, semalam.

Sementara itu, Nadhif percaya muzik mempunyai kuasa untuk menyatukan manusia, sekali gus memudahkan proses membina keserasian bersama Fabio meskipun mereka belum pernah menjayakan persembahan bersama.

“Walaupun kami tidak pernah berkongsi pentas, kami pernah menghadiri beberapa acara yang sama sebelum ini. Saya percaya keserasian antara kami akan terjalin dengan baik.

“Saya juga melihat Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang cukup istimewa sebagai negara serumpun, sekali gus menjadikan kita lebih dekat antara satu sama lain.

“Muzik membolehkan kita berkongsi emosi dan tenaga dengan cara yang sukar digambarkan. Sebab itu saya sentiasa teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam nada berseloroh, penyanyi itu turut mengakui gemar meluangkan masa berjalan-jalan di sekitar Bangsar setiap kali berkunjung ke ibu negara.

Menyentuh mengenai persembahan yang bakal dipentaskan di Megastar Arena pada 26 Julai ini, kedua-dua penyanyi memilih untuk tidak mendedahkan terlalu banyak perincian bagi mengekalkan elemen kejutan kepada peminat.

Konsert Rumah Hati Fabio Asher & Nadhif Basalamah Live in Kuala Lumpur bakal membawa penonton menghayati pelbagai tema yang dekat dengan kehidupan, termasuk cinta, kerinduan, penyembuhan dan pencarian jati diri, sebagaimana yang diterjemahkan menerusi karya-karya kedua-dua penyanyi tersebut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN