KPM serah pihak berkuasa ambil tindakan sekolah Rohingya - Utusan Malaysia

KPM serah pihak berkuasa ambil tindakan sekolah Rohingya

WONG Kah Woh (lima dari kiri) pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Ke-69 SMJK Ave Maria Convent di Ipoh hari ini. -UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung dakwaan kewujudan sebuah sekolah yang dikaitkan dengan komuniti Rohingya di Kuala Terengganu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sekolah komuniti Rohingya bukan di bawah bidang kuasa KPM kerana semua institusi pendidikan di bawah kementerian tertakluk kepada peruntukan Akta Pendidikan 1996.

“Semua sekolah di bawah KPM adalah tertakluk kepada Akta Pendidikan.

“Berhubung kewujudan sekolah komuniti Rohingya, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melihat apa yang berlaku dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Ke-69 di Dewan Dato’ Chin Pek Soo, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Ave Maria Convent, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kewujudan sebuah sekolah dipercayai untuk etnik Rohingya di Kampung Ladang Titian Kuala Terengganu mencetuskan kebimbangan dan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk tempatan sejak beberapa bulan lalu.

Sekolah itu yang beroperasi sejak Februari lalu didakwa menempatkan antara 30 hingga 50 kanak-kanak berusia empat hingga 15 tahun, sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan status, pemantauan serta keselamatan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Kah Woh berkata, seramai 2,087,143 pelajar menerima manfaat menerusi pelaksanaan Baucar Buku MADANI 2026 yang menawarkan bantuan sebanyak RM100 kepada setiap penerima.

Katanya, inisiatif itu melibatkan pelajar dari Tingkatan Satu hingga ke peringkat institusi pendidikan di bawah KPM, termasuk Tingkatan Enam, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Sebanyak RM210 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan Baucar Buku MADANI tahun ini dan kita berharap ia dapat menggalakkan budaya membaca serta meningkatkan akses pelajar kepada bahan bacaan berkualiti.

“Penebusan baucar akan dilaksanakan secara digital menerusi platform yang dikendalikan oleh Perbadanan Kota Buku dan dijangka mula dibuka pada Julai ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN