Kakitangan kontraktor Petronas direman, raih sumbangan RM91,000  - Utusan Malaysia

Kakitangan kontraktor Petronas direman, raih sumbangan RM91,000 

HUSSIN ZAMORA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kakitangan kontraktor Petronas Pengerang yang ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kematian 14 ahli keluarganya akibat Covid-19 berjaya meraih sumbangan sebanyak RM91,000.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan suspek berusia 45 tahun itu, semalam selepas lelaki itu hadir sendiri ke Balai Polis Bayu Damai.

“Suspek ditahan ketika hadir sendiri di Balai Polis Bayu Damai dipercayai ingin membuat laporan ‘covering’ bagi diri suspek tentang kejadian itu.

“Siasatan juga mendapati suspek setakat ini dipercayai telah menerima sumbangan sebanyak RM91,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussin berkata, hasil maklumat dan siasatan mendapati suspek menyebarkan berita palsu berkenaan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat Covid-19 itu bagi mendapatkan sumbangan derma sejak bulan Jun lalu.

Katanya, suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat juga boleh dikenakan denda. 

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat penilaian sebelum membuat apa-apa sumbangan atau derma supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Terdahulu Petronas dalam kenyataan menafikan dakwaan seorang individu yang merupakan kakitangan kontraktornya telah kehilangan 14 ahli keluarga akibat wabak Covid-19.

Kenyataan itu memberitahu, individu berkenaan telah ditahan pihak berkuasa kerana membuat kenyataan palsu berhubung perkara tersebut.

“Individu terbabit juga didakwa telah menerima sumbangan atas perkara berkenaan. Pihak Petronas akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan yang dijalankan.

“Petronas juga menegaskan pihaknya tidak menyokong perbuatan salah laku seperti itu sama ada oleh kakitangan atau kontraktor,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut dikongsikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam laman sosial Twitter miliknya,  semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya