Johor libatkan wakil rakyat pembangkang teliti pelan pasca Covid-19

Johor libatkan wakil rakyat pembangkang teliti pelan pasca Covid-19

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk meneliti pelbagai saranan dan dasar sosial serta ekonomi yang bersesuaian untuk dilaksana pasca Covid-19 di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, jawatankuasa khas berkenaan akan turut dianggotai ketua pembangkang dan wakil-wakil rakyat pembangkang.

Katanya, jawatankuasa khas itu turut dianggotai timbalan-timbalan setiausaha kerajaan dan ketua-ketua jabatan agensi Persekutuan dan negeri.

“Inisiatif ini merupakan antara langkah yang diambil kerajaan negeri dalam menambah baik libat urus antara wakil rakyat kerajaan dan wakil rakyat pembangkang.

“Usaha menambah baik libat urus ini termasuk pemberian peruntukan khas secara berkala untuk kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sesi taklimat bersama wakil rakyat di luar takwim persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan langkah reformasi DUN Johor mengikut kesesuaian dan keperluan.

“Wajar bagi kerajaan negeri untuk menambah baik libat urus kerajaan membabitkan kesemua ahli-ahli Yang Berhormat kerajaan mahupun pembangkang dan ia haruslah bersifat berkekalan, tidak bersifat one-off atau for the moment sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

Hasni yang juga ADUN Benut turut memberitahu, inisiatif libat urus itu juga perlu ditambah baik agar meninggalkan impak yang positif kepada sistem demokrasi negara.

Tambahnya, pada tahun lalu kerajaan negeri telah memberi peruntukan RM130,000 untuk setiap ADUN manakala tahun ini, sebanyak RM350,000 juga telah disampaikan kepada kesemua 56 ADUN.

“Peruntukan khas ini harus bersifat berkekalan selari dengan prinsip libat urus berkekalan dan bukan hanya sekadar diumumkan oleh seorang Menteri Besar sahaja, tetapi dimasukkan di dalam satu peraturan untuk perkara ini dibincangkan. 

“Sebagai contoh, jika di sebelah sana menjadi kerajaan semula janganlah peruntukan khas ini tidak diberi. Oleh itu, peruntukan khas ini akan terus diberikan kepada semua ahli Yang Berhormat berdasarkan keperluan untuk membiayai pelbagai inisiatif pro-rakyat di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, Hasni berkata, pihaknya komited mendengar pandangan wakil rakyat pembangkang menerusi sesi taklimat dan perbincangan yang akan dilakukan pada masa akan datang.

“Sesi terdekat adalah perbincangan bagi penyediaan gerak kerja kerajaan negeri dalam merangka Belanjawan Johor 2022. Saya juga memberi komitmen untuk melakukan reformasi DUN dan pertimbang penubuhan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas di peringkat negeri sekaligus menjadikan inisiatif ini sebagai usaha yang berkekalan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN