Jarak dekat, ketum ‘halal’ di Thailand dorong seludup makin rancak - Utusan Malaysia

Jarak dekat, ketum ‘halal’ di Thailand dorong seludup makin rancak

MARITIM Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar 400 kilogram daun ketum di kedudukan 0.3 batu nautika daripada muara Sungai Kuala Perlis, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jarak Perlis dan Thailand yang dekat serta langkah negara jiran ‘menghalalkan’ ketum menjadi faktor aktiviti penyeludupan daun tersebut semakin rancak apabila permintaan semakin meningkat.

Semalam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis merampas daun ketum seberat 400 kilogram dianggarkan bernilai RM72,000 di kawasan 0.1 batu nautika dari barat pantai Kurung Tengar.

Pada hari sama, agensi sama sekali lagi merampas kira-kira 400 kilogram daun ketum yang cuba diseludup di kedudukan 0.3 batu nautika daripada muara Sungai Kuala Perlis kira-kira pukul 7.00 malam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, pihaknya mengesan seorang suspek mengemudi bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan sedang keluar dari muara Kuala Perlis menuju ke arah sempadan Thailand sekitar pukul 6.45 petang.

Katanya, sebaik sahaja  menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek berpatah balik dengan menukar haluan ke arah muara Sungai Kuala Perlis dan terus merapat ke sebuah jeti nelayan di kawasan tersebut lalu melarikan diri ke daratan berhampiran dengan meninggalkan bot serta muatan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan sejumlah besar bungkusan-bungkusan kecil di bahagian belakang dan hadapan bot yang diubah suai itu. Bungkusan tersebut disyaki mengandungi daun ketum dengan anggaran seberat 400 kilogram bernilai RM72,000 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk daun ketum, bot fiber berserta enjin sangkut dianggarkan sekitar RM87,000,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, semua hasil rampasan dan bot tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih 4 tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Sebagai rekod, sejak awal tahun ini, Maritim Malaysia Kuala Perlis telah merampas sebanyak 5,555 kilogram daun ketum bernilai RM1.01 juta membabitkan 12 kes rampasan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.