Rakyat Johor tidak mahu lagi ahli politik ulang skrip lama

Rakyat Johor tidak mahu lagi ahli politik ulang skrip lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR kini berdiri di persimpangan sejarah politik yang kritikal. Negeri yang selama ini menjadi kubu kuat UMNO-Barisan Nasional (BN) ini mula menunjukkan perubahan landskap politik yang ketara.

Pengundi muda, kelompok profesional dan masyarakat bandar di Johor Bahru, Iskandar Malaysia serta kawasan-kawasan luar bandar sedang menilai setiap parti politik dengan kaca mata yang lebih kritikal.

Mereka bukan lagi pengundi yang mudah dipengaruhi slogan besar atau janji-janji populis. Sebaliknya, mereka menuntut bukti, ketelusan dan penyelesaian yang realistik.

Kegagalan parti politik untuk membaca perubahan ini akan menyebabkan mereka ditinggalkan oleh pengundi yang semakin matang dan celik politik.

HALA TUJU GEOPOLITIK
Malaysia hari ini beroperasi dalam persekitaran geopolitik yang semakin kompleks dan berbahaya. Persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat (AS) dan China, ketidakstabilan rantau Asia Tenggara, krisis ekonomi global dan perubahan iklim memberikan tekanan yang besar terhadap kestabilan negara.

Ironinya, ramai pemimpin politik kita masih berpolitik dalam kepompong kecil sambil mengejar kuasa secara membuta tuli. Mereka bermain api dengan isu perkauman, agama dan jawatan tetapi buta terhadap ancaman sebenar di luar sana.

Johor sebagai pintu masuk selatan tanah air, khususnya projek Forest City dan Iskandar Malaysia, amat terdedah kepada risiko ini, namun ramai yang masih enggan melihat realiti.

Parti politik di Malaysia mesti sedar isu sebenar bukan siapa jadi Perdana Menteri, tetapi bagaimana kita memastikan survival negara di tengah-tengah persaingan global. Malaysia memerlukan pemimpin yang memiliki visi geopolitik jelas, bukan sekadar pandai berpidato di podium.

Johor khususnya, berpotensi menjadi titik strategik sekiranya diurus dengan baik atau menjadi titik lemah sekiranya terus dipolitikkan oleh pemimpin yang mementingkan diri sendiri. Sedarkah kita, atau masih mahu terus lena?

Jadi, parti politk perlu mengutamakan:

– Mesti mengamalkan politik berasaskan bukti, bukan politik berasaskan retorik. Pengundi Johor mahu melihat angka, data dan hasil yang boleh diukur. Parti yang hanya berjanji tanpa menunjukkan rekod pencapaian akan kehilangan kepercayaan rakyat dengan cepat.

– Integriti mesti dijadikan teras kepemimpinan. Malaysia sedang berdepan dengan isu rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dalam tata kelola negara. Parti politik yang ingin kekal relevan perlu menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap reformasi institusional, pemisahan kuasa dan kebebasan badan kehakiman.

– Dasar ekonomi mesti berpaksikan kepada rakyat. Kenaikan harga barang, isu perumahan dan ketidaksimbangan pendapatan antara kaum dan wilayah perlu ditangani dengan serius. Johor sebagai entrepot ekonomi memerlukan strategi khusus untuk memastikan kemakmuran tidak hanya tertumpu di Johor Bahru tetapi tersebar ke seluruh pelosok negeri.

– Pendidikan dan modal insan perlu diutamakan. Parti politik perlu bersaing dalam idea bagaimana membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berkemahiran tinggi. Tanpa pelaburan dalam pendidikan, Malaysia akan terus menjadi negara sumber ekonomi rendah.

 

MASA hadapan Johor bergantung kepada kebijaksanaan rakyat dalam membuat pilihan serta kesungguhan pemimpin untuk benar-benar berkhidmat.

TANGGUNGJAWAB RAKYAT

Rakyat Johor sedang memikul tanggungjawab jauh lebih besar daripada yang mereka sedari. Setiap undi yang anda buat bukan sekadar memilih pemimpin tetapi menentukan sama ada Malaysia kekal relevan atau terus dihanyutkan oleh pemimpin yang gagal.
Kerana itu, sebagai pengundi anda perlu :

– Keluar mengundi dalam jumlah tinggi. Duduk di rumah bermakna anda menyerahkan masa hadapan negara kepada orang lain.

– Nilai calon berdasarkan kelayakan dan integriti, bukan populariti atau nama besar.

– Jangan berhenti selepas pilihan raya. Pantau, desak, dan tuntut akauntabiliti secara berterusan.

– Gunakan setiap platform untuk bersuara secara konstruktif. Media sosial, petisyen dan dialog adalah senjata rakyat yang paling berkesan. Ingat, senyap bukan pilihan. Jika anda tidak bersuara hari ini, jangan salahkan pemimpin esok. Johor mesti menjadi pencetus perubahan, atau sejarah akan mencatat bahawa kita gagal ketika saat paling genting.

Demokrasi bukan hak milik sesiapa tetapi merupakan amanah yang mesti dijaga bersama. Kritikan terhadap sistem politik Malaysia bukan tanda tidak setia, sebaliknya bukti rakyat masih menyayangi negara ini. Tanpa kritikan yang membina, demokrasi akan mati perlahan-lahan.
Sistem politik hari ini jelas menunjukkan tiga kelemahan kritikal, iaitu :

– Parti politik semakin hilang kepercayaan rakyat akibat skandal demi skandal yang gagal ditangani.

– Pengunndi semakin mudah dimanipulasi oleh naratif populis dan propaganda media sosial, bukan dididik untuk membuat pilihan rasional.

– Institusi negara semakin dilemahkan oleh campur tangan politik, sekali gus menjejaskan kredibiliti sistem demokrasi itu sendiri.

Persoalannya, bilakah kita mahu berhenti berpuas hati dengan kepimpinan yang ‘biasa-biasa sahaja’ dan bilakah bersedia menolak pemimpin yang menjadikan isu perkauman dan agama sebagai senjata politik?

Johor, sebagai negeri majmuk, seharusnya menjadi contoh perpaduan tetapi realitinya, sentimen sempit masih lagi subur dieksploitasi oleh mereka yang hanya mementingkan kuasa.

Parti politik perlu insaf mereka bukan tuan tetapi khadam rakyat. Berhentilah bermain dengan api perkauman, berhenti menipu dan mula bekerja. Politik sebenar ialah perkhidmatan, bukan perebutan kerusi. Jika pemimpin gagal berubah, tukar mereka. Demokrasi memberikan kita kuasa itu, gunakanlah sebelum terlambat.

Ketika negara sedang rapuh dipukul oleh pelbagai krisis, rakyat Johor berdiri di persimpangan penting sama ada mahu kekal diam atau bangkit membuka mata seluruh negara.

Kepada pemimpin politik, kuasa yang anda pegang bukan milik anda tetapi pinjaman sementara daripada rakyat. Gunakan kuasa untuk berkhidmat atau bersedialah untuk dilupakan.

Tiada siapa kebal daripada sejarah dan sejarah tidak pernah memaafkan mereka yang gagal menunaikan amanah.

Kepada rakyat Johor, jangan tunggu sehingga pilihan raya seterusnya untuk bersuara. Tukar siapa yang layak dan buang siapa yang gagal.

Inilah masanya untuk Johor menjadi mercu tanda perubahan sebenar. Jika bukan kita, siapa lagi.

Jika bukan sekarang, bila lagi. Pilihan di tangan anda dan sejarah sedang memerhati. –UTUSAN

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN