Jangan jadi guru yang mengkhianati kepercayaan

Jangan jadi guru yang mengkhianati kepercayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURU yang sejati bukan hanya mengajar dengan kata tetapi mendidik dengan teladan.” – Buya Hamka.

Bagi membentuk bangsa yang maju, yang paling utama perlu difokuskan adalah pendidikan para belia dalam bangsa itu. Tanpa pendidikan yang menyeluruh bagi membentuk anak bangsa dengan daya fikir yang matang dan jati diri yang kukuh, mustahil negara dapat mengekalkan kemakmuran dalam menggapai pembangunan.

Malang sekali apabila benak belia tidak diisikan dengan ajaran yang membumi ketika mereka mengejar pesat arus kemodenan. Apa yang terhasil hanyalah anak bangsa yang kenal huruf dan angka tetapi tidak segan dengan ilmu yang disumbat ke dalam dada. Di akhirnya, sebagai sebuah peradaban, akan kita dapat lihat paradoks yang rawak berlaku dalam masyarakat.

Sebagai contoh, apabila anak muda diberikan kuasa, mereka tegar memungkiri amanah.

Mutakhir ini berderet-deret kes kesalahan seksual melibatkan pendidik dilaporkan akhbar berita.

Lewat Mei lalu, seorang guru wanita berusia 42 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun termasuklah perbuatan yang dilakukan di bawah pokok di hadapan sebuah kompleks perumahan pangsapuri.

Dalam minggu sama, seorang guru agama lelaki berusia 31 tahun dihadapkan ke Majistret Pasir Mas atas lima pertuduhan menghasilkan gambar lucah serta melakukan amang seksual fizikal terhadap dua orang kanak-kanak lelaki yang masing-masing berusia enam dan lapan tahun.

Minggu lalu, seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Setiu atas tujuh pertuduhan amang seksual dan pengantunan terhadap dua orang pelajar lelaki. Manakala Isnin lalu, guru berusia 45 tahun dihadapkan ke Mahkamah Klang atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap enam orang pelajar perempuan.

Esoknya, guru lelaki berusia 28 tahun mengaku tidak bersalah di Johor Bahru atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan dan dua pertuduhan memiliki bahan lucah.

 

KES jenayah seksual yang melibatkan pendidik bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengkhianati amanah besar yang diberikan ibu bapa dan masyarakat. -GAMBAR HIASAN

 

KHIANAT AMANAH, ROSAK KEPERCAYAAN

Menurut Statistik Jenayah 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Oktober 2025, terdapat sejumlah 74 kes eksploitasi seksual melibatkan kanak-kanak bawah umur di mana enam daripadanya merupakan mangsa lelaki manakala 68 mangsa lain adalah dalam kalangan kanak-kanak perempuan. Daripada jumlah ini 20 kes turut berkait dengan kesalahan pornografi kanak-kanak.

Data sebegini jelas membuktikan Malaysia masih mendepani cabaran besar dalam menghentikan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak meskipun Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] sudah berkuatkuasa sejak 10 Julai 2017.

Apakah kawalan keras melalui undang-undang tidak berkesan dan dilihat enteng? Atau adakah kawalan sosial bagi membanteras jenayah ini terlalu lemah dan tidak berkesan?

Lebih membimbangkan lagi apabila kebanyakan kes mutakhir ini melibatkan perilaku jijik para pendidik yang diberikan amanah besar mengajar anak bangsa untuk membesar sebagai ahli masyarakat yang berpendidikan.

Jika mereka tidak segan dan hormat dengan amanah yang diletakkan di bahu mereka, seharusnya para pendidik takut dengan hukuman berganda yang dibenarkan di bawah Akta 792.

Seksyen 16 Akta 792 dengan jelas memaktubkan seseorang yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa kanak-kanak boleh dikenakan hukuman tambahan bagi sebarang sabitan di bawah Akta 792. Khususnya, selain hukuman yang dikenakan bagi kesalahan asal, dia juga boleh dihukum dengan pemenjaraan tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada dua sebatan.

Perlu ditekankan selain para pendidik, peruntukan ini terpakai juga kepada ibu, bapa, penjaga, atau seseorang yang mempunyai hubungan persaudaraan melalui pertalian darah, pengasuh, pensyarah, warden, jurulatih, atau pemberi perkhidmatan jagaan kesihatan.

Amat pelik jika diambil kira data menunjukkan pelaku jenayah seksual kebanyakan adalah dalam kalangan mereka yang dikenali mangsa kanak-kanak yang terlibat.

Sedangkan pelbagai langkah telah diambil kerajaan bagi mencegah perilaku buruk ini daripada terus berulang. Antaranya sejak 1 April 2019 lagi, Malaysia sudahpun mempunyai daftar rasmi pesalah seksual terhadap kanak-kanak melalui pelancaran Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Semakan boleh dibuat dengan menghantar permohonan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyelia daftar ini.

Selain itu, bermula 1 Jun 2026 juga, kerajaan telahpun menghadkan sebarang pendaftaran akaun media sosial bagi pengguna bawah 16 tahun. Langkah ini diambil setelah mengenalpasti risiko pemangsa seksual dalam talian dan eksploitasi seksual kanak-kanak yang rawak berlaku di seluruh dunia termasuklah beberapa kes tular yang terjadi di Malaysia.

Adakah kawalan sebegini akan berjaya membendung kemaraan bahaya akibat ketagihan bahan pornografi yang begitu mudah diakses? Walhal para pendidik yang dilihat dulu sebagai golongan cerdik pandai sekalipun gagal mendidik diri untuk tunduk kepada tanggungjawab mereka.

Teladan yang bagaimana mahu kita titipkan kepada anak bangsa yang akan tumbuh sebagai pemimpin negara apabila para pendidik sendiri tidak faham dan mengingkari tugas yang diberikan?

Tidak dinafikan langkah sebagai pendidik anak bangsa bukanlah di atas jalan yang selesa. Bahkan ia penuh dengan onak duri.

Namun, pilihan dan tetapan takdir yang meletakkan para pendidik di atas jalan itu tidak boleh sama sekali disalahguna bagi meranapkan kehormatan bangsa di kemudian hari.

Khususnya pendidik muda yang memilih profesion terhormat ini harus selalu beringat tentang betapa mudah mereka boleh tersilap langkah. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN