KUALA TERENGGANU: Pasar Payang dijangka memulakan operasi pada sebelah malam dalam masa terdekat selepas mendapat sokongan majoriti peniaga dan kelulusan daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, cadangan itu dikemukakan sejak tahun lalu, namun pada ketika itu ia kurang mendapat persetujuan daripada peniaga.
Katanya, kebanyakan peniaga sebelum ini beranggapan operasi malam menambah beban kerja dan mengurangkan masa rehat mereka.
“Cadangan ini sudah lama saya kemukakan kerana kita melihat terdapat permintaan tinggi daripada pelancong luar yang datang ke Terengganu.
“Pada sebelah siang mereka biasanya mengunjungi pulau, Tasik Kenyir atau lokasi pelancongan lain tetapi pada waktu malam mereka mahu membeli-belah. Pasar Payang sepatutnya menjadi destinasi utama,” katanya selepas menghadiri program Gema Payang di Pasar Payang di sini.
Razali berkata, sebelum ini peniaga bukan tidak bersetuju kerana jualan tidak laku tetapi disebabkan faktor keletihan.
“Saya cadangkan mereka mengamalkan sistem giliran atau syif, misalnya anak membantu berniaga pada waktu malam dan ibu bapa pada waktu siang,” katanya.
Beliau berkata, hasil perbincangan dengan beberapa peniaga, mereka pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan operasi malam sekurang-kurangnya pada hujung minggu.
“Kita bercadang mengadakan operasi malam pada hujung minggu, misalnya Jumaat hingga Ahad supaya pelancong yang datang ke Terengganu boleh berkunjung ke Pasar Payang sama ada pada waktu siang atau malam.
“Insya-Allah saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan dan persatuan peniaga bagi merealisasikan perkara ini,” katanya.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan peniaga emas di Pasar Payang bagi menggalakkan mereka turut membuka premis pada sebelah malam.
“Kalau kedai emas pun dibuka pada waktu malam, sudah tentu ia akan menjadi satu lagi tarikan kepada pengunjung dan merancakkan lagi suasana di Pasar Payang,” katanya.
Ditanya mengenai tempoh pelaksanaan, beliau berharap inisiatif itu dapat dimulakan secepat mungkin.
“Kalau boleh, kita mahu mulakan dalam bulan ini juga. Kita sudah berbincang dan MBKT juga memberikan kelulusan untuk operasi malam ini,” katanya. – UTUSAN







