Setelah ujian yang berat yang diterima oleh Imam al-Bukhari di Naisabur, beliau akhirnya pulang ke negeri kelahirannya iaitu Bukhara. Kedatangan beliau disambut dengan begitu meriah sekali sehingga orang ramai sanggup berkhemah sejauh satu farsakh (sekitar 5.5 kilometer) dari Bukhara demi semata-mata ingin menyambut kepulangan al-Imam al-Bukhari ke kampung halaman.
Bahkan orang ramai juga menabur dinar dan dirham kepada Imam al-Bukhari sebagai satu penghormatan yang tinggi kepada beliau.
Namun setelah Imam al-Bukhari tinggal di Bukhara, beliau diuji lagi oleh Allah Taala dengan sangkaan buruk manusia sehingga beliau akhirnya meninggalkan Bukhara buat selama-lamanya.
Masalah yang timbul berpunca apabila pemerintah Bukhara ketika itu yang bernama Khalid bin Muhammad al-Zuhliyy mengutuskan seorang utusan untuk menemui Imam al-Bukhari bagi menyampaikan hasratnya yang ingin menjemput beliau ke istananya bagi memperdengarkan hadis-hadis Sahih al-Bukhari.
Namun Imam al-Bukhari tidak mahu memenuhi undangan ini kerana ini dianggap sebagai satu penghinaan kepada ilmu kerana ilmu itu didatangi dan bukannya mendatangi. Beliau telah berkata:
“Saya tidak akan menghina ilmu”.
Menurut sebahagian riwayat, Imam al-Bukhari tidak mahu memenuhi undangan sang pemerintah kerana beliau tidak mahu majlis ilmunya hanya dikhususkan kepada segolongan manusia sahaja bahkan beliau mahu sesiapa sahaja boleh menghadiri majlis ilmunya tanpa sebarang sekatan.
Beliau sendiri pernah berkata: “Tidak sepatutnya daku mengkhususkan ilmu untuk satu kaum bukan untuk satu kaum yang lain”. Ini bermakna al-Imam al-Bukhari mahu sang raja dan putera-puteranya datang sendiri ke masjid dan hadir bersama orang ramai mendengar bacaan Sahih Imam al-Bukhari.
Maka disebabkan ketegasan beliau, sang raja marah lalu memerintahkan Imam al-Bukhari keluar dari Bukhara. Sekalipun beliau terpaksa keluar dari kampung halamannya, namun Allah Taala tidak membiarkan sang raja terus bergembira dengan kezalimannya.
Sebelum berlalu sebulan pengusiran Imam al-Bukhari dari Bukhara, Khalid bin Muhammad al-Zuhliyy dipecat, dipenjarakan dan dimalukan dengan cara diarak di atas keldai betina ke sekeliling kota.
Kekayaan Yang Disulami Dengan Kewarakan
Imam al-Bukhari adalah seorang yang berharta. Beliau memiliki tanah-tanah yang menghasilkan wang bagi kegunaannya. Beliau memiliki sebidang tanah yang disewakan kepada seseorang dengan kadar sewaan sebanyak 700 dirham setahun. Pada ketika itu 700 dirham adalah menyamai 70 dinar iaitu kira-kira RM182,070 dengan kiraan satu gram emas berharga R 612 iaitu RM15,172.50 per bulan.
Beliau juga memiliki tanah lain yang hasil keuntungan hasil sewaannya adalah 500 dirham sebulan iaitu kira-kira RM130,050. Ini bermakna hasil sewaan tanah-tanah tersebut yang akan diperolehi oleh Imam al-Bukhari adalah anggaran sebanyak RM1.6 juta setahun!
Kekayaannya dijadikan sebagai amal bakti beliau kepada para penuntut ilmu dan sebagai perbelanjaan beliau sepanjang perkelanaannya menjejak dan menyebarkan hadis Rasulullah SAW.
Pernah pada satu ketika orang yang berhutang dengan Imam al-Bukhari enggan melunaskan hutangnya yang berjumlah 25 ribu dirham yang ketika itu menyamai 2,500 dinar atau sekitar RM6.5 juta. Para temannnya mencadangkan beliau membawa kes ini ke pihak pemerintah.
Namun Imam al-Bukhari enggan kerana risau sang pemerintah akan menjadikan ini sebagai peluang untuk mempergunakannya. Beliau telah menolak cadangan ini dengan berkata: “Daku sama sekali tidak akan menjual agamaku dengan bayaran duniaku”.
Beliau akhirnya telah berbincang dengan sang penghutang lalu memintanya membayar sebanyak 10 dirham sahaja pada setiap bulan. Ini bermakna Imam al-Bukhari sama sekali tidak akan mendapatkan kembali keseluruhan hutang tersebut kerana dengan bayaran hanya 10 dirham per bulan sedangkan jumlah hutang seluruhnya adalah 25,000 dirham akan memerlukan selama 208 tahun bagi si penghutang melunasi seluruh hutang tersebut.
Kecintaan Yang Sangat Tinggi Buat Rasulullah
Imam al-Bukhari ada menyimpan rambut Rasululla. Beliau akan membawa rambut yang mulia ini bersama-sama dengannya apabila beliau bermusafir bahkan beliau akan menyimpan rambut itu di dalam kopiahnya.
Tindakan beliau ini menurut Fadhilat al-Syeikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya‘qubiyy menunjukkan dua perkara:
• Pertama: Tidak salah kita bertabarruk (memohon kepada Allah akan keberkatan) dengan segala tinggalan Rasulullah. Bahkan bertabarruk dengan peninggalan Rasulullah SAW seperti rambut baginda dan seumpamanya adalah merupakan amalan para sahabat Rasulullah SAW.
• Kedua: Tindakan Imam al-Bukhari yang menyimpan dan terus bersama dengan rambut Rasulullah di mana sahaja baginda berada membuktikan kecintaan beliau yang sangat tinggi kepada baginda.
Beliau turut mengungkapkan kecintaan yang agung ini dengan bukti kesanggupan bersusah payah mengumpul dan menyebarkan hadis Rasulullah tanpa mengharap sebarang imbuhan bersifat keduniaan.
Seorang Penulis Yang Hebat
Imam al-Bukhari terus menjadi panutan para ilmuan sekalipun telah begitu lama meninggalkan kita. Ilmunya terus dipelajari menerusi tulisan-tulisan tangannya yang terus menyumbang bakti khususnya dalam penyebaran hadis Rasulullah. Beliau mula menyumbangkan karya kepada umat bermula pada usia 18 tahun dengan kitab sulungnya yang berjudul: Qadhoya al-Sohabah Wa al-Tabi‘in Wa Aqowilihim. Namun kitab ini tidak ditemui pada hari ini.
Berikut adalah antara hasil karya Imam al-Bukhari:
• Pertama: Kitab al-Adab al-Mufrad. Kitab ini mendedahkan hadis-hadis Rasulullah SAW yang membicarakan mengenai adab. Kitab ini sangat penting untuk dipelajari oleh masyarakat terlebih lagi pada zaman ini yang sangat miskin adab. Kitab ini mengandungi 644 bab yang merangkumi sebanyak 1322 hadis.
• Kedua: Kitab Birr al-Walidayn. Kitab membahaskan hadis-hadis Rasulullah SAW yang memfokuskan kepada sikap berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa. Kitab ini telah menghimpunkan sebanyak 76 hadis Rasulullah.
• Ketiga: Kitab Sohih al-Bukhoriyy atau nama sebenarnya al-Jami‘ al-Musnad al-Sohih al-Mukhtasor Min Umur Rasulillah SAW Wa Sunanihi Wa Ayyamihi. Ini adalah karya teragung al-Imam al-Bukhari yang telah diiktiraf oleh para ulama Islam sebagai karya paling sahih selepas kesahihan al-Quran al-Karim. Kitab ini telah menghimpunkan 7,658 hadis dalam pelbagai cabang ilmu.
(bersambung)
Penulis ialah adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










