Irama Integriti dicadang acara tahunan pupuk karya antirasuah

Irama Integriti dicadang acara tahunan pupuk karya antirasuah

PEMENANG Irama Integriti 2021 anjuran bersama MACC.fm dan Putrajaya.FM dengan lagu Malaysiaku Yang Tercinta karya ASYX. – FOTO/IHSAN PUTRAJAYA.FM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan agar Irama Integriti dijadikan sebagai acara tahunan dalam memupuk karya muzik antirasuah tempatan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd. Noor malah berkata, program sedemikian juga dapat dijadikan wadah kreatif bakat muda menolak gejala rasuah.

“Saya berharap pertandingan ini diadakan lagi pada masa akan datang dan dijadikan program setiap tahun,” katanya berucap secara maya pada Pertandingan Akhir Irama Integriti 2021.

RAZIM MOHD. NOOR

Acara julung kali itu dianjurkan bersama stesen radio penstriman rasmi SPRM, MACC.fm dan stesen radio komuniti atas talian, Putrajaya.FM sempena sambutan Hari Malaysia kelmarin.

Program ini berjaya menerima 23 penyertaan sebelum tarikh tutup pada Sabtu lalu, dan lapan karya terpilih dipersembahkan pada peringkat akhir secara langsung melalui dua stesen itu.

Turut bersama menyaksikan acara persembahan tersebut dan menyampaikan ucapan alu-aluan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya.FM, Nik Hisyamuddin Fathi Nik Hussain Fathi.

Mengulas lanjut, Razim berkata, gabungan kerjasama dua stesen penstriman berkenaan diharap akan membentuk kesedaran masyarakat mengenai kesedaran isu bahaya gejala rasuah.

“SPRM mahu menyemai perasaan benci amalan penyelewengan terutama dalam kalangan anak muda lagi agar negara bebas korupsi dan menyayangi nilai budaya integriti,” tegas beliau.

Pada pertandingan ini, lagu Malaysiaku Yang Tercinta karya ASYX atau Muhammad Syafifikri Ridzainuddin dinyanyikan Musyi, Erna dan Maxi muncul juara menerima hadiah tajaan SPRM.

Sementara persembahan terbaik dimenangi oleh Fauzururahman Mohamed Zaidi menerusi lagu Tanah Airku Malaysia dengan meraih hadiah sumbangan dari syarikat Incredible Oily Life.

Peserta diadili komposer terkenal tanah air, Fauzi Marzuki sebagai ketua juri dengan ahli panelnya, Nik Nizam Jaafar dari Istana Budaya dan aktivis puisi Sajak Sister, Noor Dalina Khalid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN