KRWFC buktikan bayar untuk tontonan berkesan

KRWFC buktikan bayar untuk tontonan berkesan

JARINGAN hatrik Mbraga (dua kanan) membantu Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) meraih kemenangan besar dengan membelasah pasukan 'budak U' atau Malaysia Universiti FC 6-0 pada aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan malam tadi-IHSAN KRW FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pelaksanaan model bayar untuk tontonan (pay-per-view) yang diketengahkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima reaksi positif apabila Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) tampil menyokong inisiatif berkenaan.

Sokongan itu bukan sekadar retorik apabila kelab dari Pantai Timur tersebut sebenarnya sudah pun ‘bergerak dahulu’ dengan mengaplikasikan model sama dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/26.

Langkah berani itu kini dilihat membuahkan hasil apabila KRWFC berjaya menjana pendapatan tambahan yang konsisten, sekali gus membantu menampung kos operasi kelab yang semakin meningkat.

Perkembangan itu menguatkan lagi hujah bahawa pay-per-view bukan sekadar cadangan, sebaliknya mampu menjadi antara solusi praktikal dalam menangani isu kewangan yang sekian lama membelenggu kelab Liga Malaysia (Liga M).

Sokongan terbuka KRWFC hadir susulan pembentangan kertas kerja komprehensif oleh Tunku Ismail dalam sesi meja bulat bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan wakil 13 kelab, Rabu lalu.

Menurut KRWFC, pengalaman mereka jelas membuktikan bahawa pendekatan tersebut mempunyai potensi besar untuk dikembangkan di peringkat lebih luas.

“Ini kerana, pihak KRWFC sebenarnya telah melaksanakan model tontonan berbayar lebih awal di mana terbukti pendapatan yang diperoleh dapat menampung sebahagian kos operasi kelab setelah mendapat sokongan berterusan dari penyokong setia wira merah.

“Lebih membanggakan, data kami menunjukkan purata 1000 penyokong membeli akses pada setiap perlawanan membabitkan KRWFC dalam saingan Liga A1 Semi Pro untuk musim 2025/26.

“Jelas ia menjadi satu inisiatif yang dapat menjana pendapatan stabil kepada kelab malah mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dengan lebih lanjut oleh MFL berdasarkan kertas kerja yang diberikan oleh Tunku Ismail,” kata kelab itu.

KRWFC melihat pelaksanaan model ini bukan sahaja memberi manfaat dari sudut kewangan, malah mampu mengeratkan hubungan antara kelab dan penyokong.

Pendekatan tersebut selari dengan aspirasi untuk mengembalikan bola sepak kepada peminat, malah, mewujudkan ekosistem lebih mampan dan berdaya saing.

“Secara tidak langsung ia dapat mewujudkan hubungan lebih rapat antara kelab dan penyokong selaras dengan hasrat mengembalikan bola sepak kepada rakyat.

“Sehubungan dengan itu, KRWFC bersedia untuk bersama Tunku Ismail dan MFL bagi memperkukuh cadangan ini sebagai sebahagian daripada persediaan utama kelab untuk bersaing di peringkat lebih tinggi termasuk beraksi di Liga Super pada masa hadapan,” jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN