Setiap umat Islam wajib cegah kemungkaran- PU Riz - Utusan Malaysia

Setiap umat Islam wajib cegah kemungkaran- PU Riz

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Ismail menegaskan kepentingan peranan umat Islam dalam mencegah kemungkaran susulan isu melibatkan sebuah program yang berlangsung di sekitar Bukit Bintang, baru-baru ini.

Dia berkata, sebarang program atau acara yang mempunyai unsur kemaksiatan tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya wajib dicegah tanpa bertangguh selaras dengan tuntutan agama.

“Sebagai umat Islam, kita diajar bahawa sesiapa yang melihat kemungkaran, maka wajib baginya untuk mengubah dengan tangannya.

“Jika tidak mampu, maka dengan lisan, dan jika tidak mampu juga, maka dengan hati dan itulah selemah-lemah iman,” katanya.

Dia menjelaskan, prinsip tersebut menjadi asas utama mengapa setiap individu perlu memainkan peranan dalam mencegah perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam, khususnya apabila ia berlaku secara terbuka dalam masyarakat.

Dalam pada itu, dia turut menegaskan bahawa perbuatan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan adalah lebih dibenci oleh Allah SWT berbanding yang dilakukan secara tersembunyi.

“Rasulullah SAW menyebut bahawa semua umatnya akan diampunkan kecuali mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan. Justeru, kita perlu ada sifat malu dan tidak berbangga dengan perbuatan maksiat,” katanya.

Mengulas lanjut, dia mengingatkan agar masyarakat tidak menggadaikan kepentingan akhirat semata-mata demi keuntungan duniawi, khususnya dalam penganjuran program yang boleh mengundang kemungkaran.

“Janganlah kerana keuntungan dunia, kita sanggup mengorbankan perkara yang melibatkan akhirat. Keseimbangan itu penting,” katanya.

Mengakhiri kenyataannya, dia menegaskan bahawa sebuah negara yang aman dan makmur lahir daripada masyarakat yang menjauhi maksiat serta menitikberatkan kehidupan yang sejahtera dan diberkati.

“Negara yang baik adalah negara yang menjaga nilai dan menjauhkan kemungkaran. Dari situlah datangnya keberkatan dalam kehidupan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN