PETALING JAYA: Johor terus menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha merampas kejuaraan Kejohanan Ragbi Piala Agong apabila memperkukuh pasukan dengan mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan Samoa, Tim Nanai-Williams.
Kehadiran Nanai-Williams yang juga mempunyai pertalian keluarga dengan bintang ragbi dunia dan legenda All Blacks, Sonny Bill Williams, dijangka memberi nilai tambah besar kepada pasukan Johor dalam saingan musim ini.
Pengurusan Kesatuan Ragbi Johor (JRU) menegaskan langkah membawa masuk pemain berpengalaman antarabangsa itu adalah sebahagian strategi untuk meningkatkan daya saing pasukan di pentas domestik.
Presiden JRU, Datuk Noorazam Osman berkata, kombinasi pemain tempatan dan import diyakini mampu membawa Johor ke tahap lebih tinggi dalam saingan akan datang.
“Johor komited untuk menjadi pasukan yang lebih kompetitif dalam saingan Piala Agong 2026. Gabungan pemain tempatan dan antarabangsa ini diharap dapat memperkukuh prestasi keseluruhan pasukan,” katanya.
Nanai-Williams bukan nama asing dalam arena ragbi antarabangsa apabila memiliki pengalaman luas bersama Samoa serta pernah beraksi di pentas tertinggi dunia.
Pemain kelahiran New Zealand itu turut beraksi dalam dua edisi Piala Dunia Ragbi iaitu pada 2015 dan 2019 bersama pasukan kebangsaan Samoa.
Johor yang bakal beraksi dengan nama Johor Tigers turut meletakkan sasaran tinggi untuk menamatkan kemarau kejuaraan selepas beberapa kali hampir merangkul gelaran.
Noorazam menegaskan, pasukan kali ini membawa misi lebih besar selepas pengalaman pahit tewas di saat akhir pada musim lalu masih segar dalam ingatan.
“Kami bukan sekadar mahu bertanding, tetapi datang dengan misi jelas. Tahun lalu kami tewas dalam tempoh dua minit terakhir, jadi musim ini kami mahu bangkit dan melangkah lebih jauh,” katanya.-UTUSAN










