PETALING JAYA: Saluran untuk kelab Liga Malaysia (Liga M) membawa sebarang pertikaian ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sememangnya telah tersedia, namun penggunaannya bergantung kepada kategori kes yang dihadapi.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, mekanisme itu sudah termaktub dalam statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta selari dengan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Katanya, bagi kes melibatkan pertikaian domestik, semua isu berkaitan tatatertib dan status akan diuruskan di peringkat FAM sebelum rayuan dikemukakan kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).
“Sebenarnya, untuk kes yang dibawa ke CAS, memang sudah terdapat laluan (pathway) yang dibenarkan dalam statut FAM serta selaras dengan peraturan FIFA. Bagaimanapun, laluan tersebut khusus diperuntukan bagi kes yang melibatkan pertikaian antarabangsa, terutamanya apabila keputusan FIFA dijadikan asas untuk rayuan.
“Bagi kes-kes tempatan pula, semua pertikaian berkaitan tatatertib dan status akan dikendalikan di peringkat FAM dan rayuan di AIAC. Dalam konteks ini, konsep timbang tara yang sama seperti CAS masih digunapakai, tetapi dilaksanakan melalui AIAC di Malaysia.
“Kedua-dua platform ini berkongsi prinsip yang sama kerana berasaskan mekanisme timbang tara, cuma berbeza dari segi bidang kuasa dan lokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berhubung keperluan memberi ruang kepada kelab membawa pertikaian ke CAS dalam sesi meja bulat bersama MFL dan wakil 13 kelab, Rabu lalu.
Mengulas lanjut, Mohd Shazli menegaskan pendekatan sedia ada itu juga bertujuan mengurangkan beban kewangan yang perlu ditanggung oleh kelab, pemain mahupun pegawai sekiranya kes terus dibawa ke peringkat antarabangsa.
“Dari sudut rasional, pendekatan ini diambil bagi mengelakkan kelab, pemain dan pegawai daripada menanggung beban kos yang tinggi. Proses di CAS melibatkan kos yang agak besar deposit permulaan sahaja sekitar CHF 1,000 (RM5,000), diikuti bayaran pendahuluan yang bergantung kepada kategori kes, serta kos guaman yang juga signifikan.
“Kesemua ini perlu ditukar kepada mata wang tempatan, yang menjadikan jumlah keseluruhan lebih membebankan. Oleh itu, untuk kes tempatan, adalah lebih wajar ia diselesaikan di peringkat domestik melalui AIAC. Namun, bagi pertikaian antarabangsa, laluan ke CAS memang telah lama diwujudkan dan terus dibenarkan selaras dengan peraturan FIFA,” jelasnya.
Sebagai rekod, beberapa kes sebelum ini pernah melalui saluran timbang tara sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa, termasuk kes membabitkan Akhyar Rashid bersama Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dibawa ke AIAC pada 2019.-UTUSAN










