Dua lelaki ditahan : Palsu kad PLKS, UNHCR dengan bayaran RM4,000 - Utusan Malaysia

Dua lelaki ditahan : Palsu kad PLKS, UNHCR dengan bayaran RM4,000

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Satu sindiket penipuan dan pemalsuan dokumen serta cap keselamatan Imigresen didalangi warga Pakistan tumpas selepas dua lelaki ditahan di Ampang Selangor dan Wangsa Maju, dekat sini semalam.

Menerusi pemeriksaan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai  dari Unit Risikan Operasi Bahagian Operasi, Siasatan & Pendakwaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Putrajaya itu dilakukan hasil risikan dan maklumat berhubung kegiatan suspek berkaitan penipuan berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan pertama telah dilakukan di sebuah kediaman di Ampang dan hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemukan cap keselamatan dan nama pegawai JIM yang telah dipalsukan.

Ujarnya, turut ditemukan iaitu cap kedutaan asing, cap keluar masuk negara Pakistan,  cap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR),  cap bank dan pelbagai cap syarikat. 

“Kita juga turut menemukan surat kelulusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dipalsukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Khairul Dzaimee, satu lagi serbuan telah dilakukan di premis kedua di Wangsa Maju sebelum menemukan cap nama pegawai JIM, cap pesuruhjaya sumpah, cap Majlis Agama Islam Narathiwat dan satu naskah pasport India. 

Dalam pada itu, kata beliau, suspek pertama berusia 32 tahun didapati telah tinggal lebih masa selain memiliki pasport tamat tempoh, manakala suspek kedua yang berumur 37 tahun memegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang dan merupakan suami kepada warganegara ini.

“Kedua-dua mereka yang ditahan dipercayai telah menjalankan kegiatan ini sejak tiga tahun lalu dan menjadi perantara kepada pelanggan dari kalangan warga asing yang ingin mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). 

“Semakan lanjut mendapati, mereka telah mengenakan bayaran antara RM 2,500 hingga RM 4,000 bagi setiap pasport,” jelasnya.

Tambah beliau, sindiket ini juga dipercayai mempunyai rangkaian dengan beberapa lagi ejen warga asing lain yang telah dikenal pasti termasuk orang tempatan.

Ujarnya, Imigresen sedang memburu suspek-suspek tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh melaporkan kepada Imigresen.

“Operasi dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan berkaitan dengan Covid-019 dan suspek telah ditahan di Depot Imigresen KLIA bagi tujuan siasatan lanjut setelah saringan dan hasil keputusan ujian negatif. 

“JIM menasihatkan orang ramai terutamanya warga asing dan majikan supaya berurusan terus dengan JIM dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen dalam urusan imigresen. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai PATI atau maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan boleh menggugat kedaulatan Negara supaya tampil menyalurkan maklumat,” katanya.-UTUSAN  ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya