Kebakaran di Kampung Cina, Polis Kelantan tunggu laporan bomba

Kebakaran di Kampung Cina, Polis Kelantan tunggu laporan bomba

ANGGOTA bomba melakukan siasatan di lokasi kebakaran melibatkan 29 buah rumah di Kampung Cina, Gok Kapur, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan sedang menunggu laporan daripada Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung punca sebenar kebakaran yang meranapkan 29 buah rumah penduduk di Kampung Cina, Gok Kapur di sini semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, setakat ini pihaknya belum mengambil sebarang keterangan daripada mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Katanya, polis juga tidak mengesan sebarang unsur perbuatan khianat berkaitan insiden kebakaran itu.

“Kita akan tunggu laporan daripada Unit Forensik JBPM terlebih dahulu mengenai punca sebenar kebakaran.

“Jika benar terdapat unsur lain, kita akan menjalankan siasatan lanjut dan mengeluarkan kenyataan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas dakwaan yang tular kononnya kebakaran itu berpunca daripada tindakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) mental, Mohd. Yusoff berkata, perkara tersebut masih belum dapat dipastikan.

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengesahkan sebanyak 29 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN