Trump dicemuh oleh penonton

Trump dicemuh oleh penonton

TRUMP menyaksikan pertandingan akhir bola keranjang. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dicemuh oleh penonton semasa perlawanan akhir Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan ( NBA) di Madison Square Garden, New York  pada Isnin, ketika kehadirannya menyebabkan langkah keselamatan yang sangat ketat dilaksanakan di arena ikonik New York itu.

Peminat mengejek pemimpin parti Republikan itu, yang menyaksikan perlawanan dari sebuah suite eksekutif, apabila wajahnya dipaparkan pada skrin di dalam arena semasa lagu kebangsaan dimainkan.

Langkah keselamatan dipertingkatkan sempena lawatan tersebut, dengan pihak berkuasa menghalang peminat yang tidak mempunyai tiket daripada memasuki kawasan beberapa blok di sekitar Madison Square Garden.

Mereka turut melarang acara tontonan awamdi luar arena di Manhattan,  berbeza dengan dua perlawanan playoff terdahulu antara New York Knicks dan San Antonio Spurs yang menarik kehadiran ramai penyokong.

Pihak berkuasa menggesa pemegang tiket tiba sekurang-kurangnya dua jam sebelum perlawanan pada pukul 8.30 malam waktu tempatan bagi melalui pemeriksaan keselamatan ala lapangan terbang. Beg juga tidak dibenarkan dibawa masuk.

Spurs menewaskan Knicks 115-111, sekali gus merapatkan kedudukan kepada 2-1 dalam siri kejuaraan yang dimainkan secara terbaik daripada tujuh perlawanan.

Menjelang perlawanan, wartawan AFP melihat pagar setinggi kira-kira tiga meter dipasang di sekitar beberapa bahagian Madison Square Garden dan kehadiran ramai anggota Perkhidmatan Rahsia Amerika  yang bertanggungjawab melindungi presiden AS.

Ejen-ejen tersebut, sebahagiannya bersenjata berat, turut diiringi ratusan anggota polis New York ketika orang ramai berkumpul di jalan-jalan berhampiran arena dan di kawasan tontonan awam lain di bandar itu.

Sebahagian penduduk New York dan ahli politik Demokrat mengkritik Trump kerana menyebabkan kesulitan kepada orang ramai.

“Ketika Bandar Raya New York sedang menikmati antara detik terbaiknya dalam beberapa dekad, Trump menjadikan semuanya tentang dirinya sendiri. Trump patut biarkan kami sahaja. Dia tidak dialu-alukan di sini,” tulis Ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer, di platform X.

Ketika konvoi Trump bergerak menuju Madison Square Garden, beberapa penunjuk perasaan memegang papan tanda bertulis ‘Trump mesti pergi’, manakala sekurang-kurangnya dua individu menunjukkan isyarat jari tengah ke arah kenderaan tersebut.

Peminat Knicks, Anthony Pulley, 43, berkata kepada AFP bahawa beliau menghargai kehadiran Trump walaupun mengakui gangguan yang berlaku agak menjengkelkan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN