Dikir Pahang pupus ditelan zaman - Utusan Malaysia

Dikir Pahang pupus ditelan zaman

REBANA Pahang dimiliki Mohd. Aspar Ariffin yang diwarisi daripada allahyarham bapanya, Ariffin Tumpang dari Kampung Mela di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Seni budaya tradisi Islam Dikir Rebana atau Dikir Pahang yang dahulunya segar dalam masyarakat Melayu negeri ini ketika upacara keraian dan kesyukuran tidak lagi kedengaran sejak 30 tahun lalu.

Seni itu merupakan warisan budaya di negeri ini dan rugi jika ia dibiarkan pupus begitu sahaja tanpa ada usaha untuk mempertahankannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Aripin Said berkata, Dikir Pahang popular dalam abad ke-19 sehingga 1980-an di negeri ini dan selepas itu ia sepi atau boleh dikatakan dilupakan begitu sahaja.

ARIPIN SAID

Menurutnya, Dikir Pahang yang menggunakan rebana diperbuat daripada kulit kerbau menjadi mainan rakyat terutama pada majlis khas seperti perkahwinan di kampung sekali gus kemuncak sesuatu majlis.

“Pemain Dikir Rebana@Dikir Pahang terkenal antaranya Pahlawan Pahang Tok Gajah, Mat Kilau dan rakannya, Kadi Pahang pertama Kadi Ibrahim Abu Hurairah Berhala Gantang, Tok Jebek malah Sultan Pahang pertama Sultan Ahmad Muadzam Shah.

“Semasa kegemilangan Dikir Pahang ini, Sultan Ahmad Muadzam Shah sering mengundang kumpulan Dikir dari Maran dan Chenor ke Istana Pahang di Pekan, dekat sini,” katanya di sini semalam.

Aripin berkata, selain majlis perkahwinan, Dikir Pahang ada juga dimainkan ketika kelahiran anak, majlis aqiqah, potong rambut dan doa selamat serta kesyukuran.

PASUKAN Dikir Rebana Kampung Batu Bor di Bera, Pahang bergiat aktif dalam persembahan permainan tradisi berkenaan sekitar tahun 1960-an. 

 

Beliau berkata, Dikir Rebana atau Dikir Pahang  merupakan khazanah kesenian negeri ini yang mempesonakan dan mengasyikkan serta mampu menarik pelancong luar ataupun dalam negara.

Jelasnya, permainan tersebut seharusnya terus kekal relevan sehingga kini kerana masih ada generasi yang boleh memainkan Dikir Rebana tersebut.

“Sayang dan rugi jika permainan tradisi ini (Dikir Rebana) yang asal usulnya boleh dikatakan bermula dari negeri ini dibiarkan lenyap begitu sahaja.

“Saya berharap kerajaan negeri melihat perkara ini (menghidupkan kembali Dikir Rebana). Cari tokoh-tokoh dari negeri ini yang berusia 60 tahun ke atas kerana masih ramai boleh bermain Dikir Rebana.

“Jika bukan mereka pun, saya percaya anak-anak mereka pasti tahu bermain permainan tradisi itu seni warisan dan budaya negeri ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya