PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima beberapa dokumen dan rakaman video daripada Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan perjanjian pelaburan bernilai RM1.1 bilion.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, dokumen itu diserahkan sendiri Rafizi bersama lima peguamnya di Ibu Pejabat SPRM di sini sekitar pukul 10 pagi tadi.
“Kehadiran Rafizi hari ini ke SPRM adalah untuk menyerahkan beberapa dokumen dalam bentuk cetakan serta rakaman video di dalam alat pemacu kilat USB (pendrive) yang dikatakan berkaitan dengan Syarikat ARM Limited UK.
“Serahan dokumen-dokumen tersebut adalah secara sukarela dan ia adalah untuk membantu siasatan yang dilakukan terhadap beliau (Rafizi),” katanya.
Katanya, SPRM turut mengambil keterangan tambahan daripada Rafizi dan proses tersebut selesai kira-kira jam 1.30 petang.
Terdahulu, Rafizi meluangkan lebih dua jam memberi keterangan tambahan selain menyerahkan dokumen kepada SPRM berhubung siasatan perjanjian pelaburan bernilai RM1.1 bilion antara Kementerian Ekonomi dan Arm Holdings Inc (ARM).
Bukti baharu yang diserahkan membabitkan dokumen setebal 28 muka surat.
Untuk rekod, hari ini adalah hari kelima Rafizi dirakam keterangan berhubung perjanjian pelaburan dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom itu. – UTUSAN









