Bina lebih banyak TAPS hadapi impak perubahan iklim terhadap sumber air - Utusan Malaysia

Bina lebih banyak TAPS hadapi impak perubahan iklim terhadap sumber air

TUAN Ibrahim Tuan Man merasmikan Denai Sungai Rembau di Lubok China, Rembau hari ini pada Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Sungai Rembau, Lubok China, Rembau hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Pembinaan lebih banyak Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) antara mekanisme yang diambil oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi berdepan impak perubahan iklim terhadap sumber bekalan air di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, negara sememangnya mengalami dua keadaan yang menurut beliau ekstrem iaitu limpahan air yang banyak ketika musim tengkujuh dan kekurangan air ketika musim kemarau.

Sehubungan itu, menurut beliau, pembinaan TAPS dilihat sebagai langkah terbaik yang boleh diambil menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk bersedia dalam kedua-dua keadaan tersebut.

“Kita lihat perlu satu mekanisme untuk kita manfaat air waktu ada supaya kita boleh guna waktu tiada, itu kita perkenalkan TAPS. Kita bukan lagi buat empangan di hulu tetapi kina bina TAPS.

TUAN Ibrahim Tuan Man melepaskan benih anak ikan selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Sungai Rembau, Lubok China, Rembau hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Sekiranya berlaku apa-apa kepada sungai, contohnya pencemaran, loji rawatan tidak boleh beroperasi, impak kepada penduduk sangat serius, apa alternatif kita sewaktu air sungai tidak boleh ambil? Kita ada TAPS untuk kita ambil sebagai sandaran supaya pengguna tidak akan terputus bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Sungai Rembau, Lubok China di sini hari ini.

Yang hadir sama, timbalannya, Datuk Mansor Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan.

Ketua Pengarah Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah baru-baru ini berkata, berlaku kenaikan suhu purata harian di bahagian tengah Semenanjung Malaysia dalam tempoh sembilan tahun sehingga tahun lalu.

Perubahan iklim tempatan di kawasan sama juga menyebabkan jumlah hujan meningkat daripada 2,500 milimeter (mm) setahun pada 2011 menghampiri 3,000 mm pada 2019.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, pihak kementerian dan Unit Perancang Ekonomi merangka Pelan Transformasi Sektor Air 2040 dalam intipati Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk menjadikan sektor air sebagai enjin pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Malaysia sebagai hub air serantau menjelang tahun 2040.

Tambah beliau, kementerian turut komited memastikan kecukupan sumber air dan jaminan bekalan air bersih kepada seluruh rakyat di negara ini menerusi Pelan Transformasi Sektor Air 2040.

“Negara dikurniakan sebanyak 2,986 lembangan sungai di seluruh negara merupakan sumber bekala air bersih untuk rakyat Malaysia dengan purata taburan hujan tahunan yang melebihi 2,000 mm antara tertinggi di dunia yang perlu dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, selaras dengan tema sambutan Hari Sungai Sedunia yang disambut setiap hari Ahad terakhir pada bulan September iaitu Alur Air dalam Komuniti, Kementerian Alam Sekitar dan Air memperkenalkan inisiatif Denai Sungai Kebangsaan bagi mendekatkan komuniti setempat dengan sungai berhampiran kawasan masing-masing.

Menerusinya, menjelang tahun 2030, sepanjang 10,000 kilometer denai disasarkan untuk dibina di seluruh negara merangkumi pembaikan denas sedia ada yang akan diselenggara secara bersama dengan komuniti setempat.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN