Bayi lelaki tujuh bulan kritikal dipercayai didera pengasuh - Utusan Malaysia

Bayi lelaki tujuh bulan kritikal dipercayai didera pengasuh

MIOR FARIDALATRASH WAHID 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan mengalami pendarahan di kepala dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di Taman Desa Pelancongan di sini, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian tersebut disedari bapa mangsa selepas dihubungi pengasuh itu yang meminta mengambil bayi terbabit yang dikatakan terjatuh dari alat bantu berjalan atau ‘baby walker’.

Katanya, setibanya lelaki itu di rumah pengasuh berkenaan, dia mendapati terdapat kesan bengkak pada kepala bayinya.

“Bapa mangsa bertanyakan keadaan bayinya kepada wanita berusia lingkungan 22 tahun itu dan dia memberitahu bayi tersebut terjatuh semasa didukung.

“Mangsa segera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan dan pemeriksaan mendapati terdapat pendarahan di kepala dan tempurung kepala retak,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, mangsa tidak sedarkan diri dan kini berada dalam keadaan kritikal.

Berikutan itu, katanya, satu laporan polis berkaitan cubaan bunuh diterima pihaknya semalam yang membawa kepada tangkapan pengasuh berkenaan.

“Bayi itu dihantar ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat pada pukul 7.10 pagi kelmarin, sebelum bapanya dihubungi pada pukul 2.35 petang untuk mengambil bayinya semula.

“Berdasarkan maklumat awal, suspek warga tempatan itu dikatakan telah menghempas kepala bayi itu sebanyak dua kali ke lantai kerana mangsa tidak berhenti menangis.

“Suspek hanya berhenti melakukan perbuatan itu setelah menyedari mangsa tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurut beliau, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN