KUALA LUMPUR: Isu kontrak beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang tertangguh sejak Disember lalu dijangka berakhir pada hujung minggu ini.
Pasangan ranking ketiga dunia itu difahamkan akan kekal di bawah naungan badan induk berkenaan sekurang-kurangnya sehingga Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Mereka dijangka menandatangani kontrak baharu minggu ini sebelum berangkat ke Tokyo untuk menyertai Terbuka Jepun yang akan bermula 15 hingga 20 Julai ini.
Bagaimanapun, difahamkan masih terdapat satu syarat terakhir yang sedang dirunding dan dijangka dimuktamadkan dalam masa beberapa hari.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memaklumkan rundingan sedang berlangsung dalam keadaan baik dan positif.
“Seperti diberitahu oleh Presiden (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) tempoh hari perbincangan mereka sangat positif.
“Apa pun ada beberapa hari lagi. Kita tunggu dan lihat. Semua mahukan yang terbaik,” kata Kenny ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kelamarin.
Teka-teki masa depan Pearly-Thinaah mula diperkatakan apabila mereka belum memperbaharui kontrak biarpun perjanjian lama tamat akhir tahun lalu, namun Presiden BAM memberi jaminan penyelesaian akan dicapai secara menang-menang.
Prestasi semasa mereka juga memberangsangkan dengan satu gelaran di Terbuka Thailand, naib juara Terbuka Indonesia, selain mara ke separuh akhir Malaysia Masters dan suku akhir Terbuka Singapura pada musim ini. -UTUSAN










