Aaron akui Malaysia belum cukup kuat

Aaron akui Malaysia belum cukup kuat

Aaron Chia (kiri) menyifatkan acara berpasukan Sukan Asia 2026 lebih mencabar berdasarkan kekuatan seimbang pasukan lawan. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluang Malaysia dalam acara berpasukan badminton lelaki di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak boleh dianggap mudah apabila Aaron Chia mengakui skuad negara di atas kertas masih belum cukup kuat berbanding pasukan seperti China dan Korea Selatan.

Aaron berkata, perbezaan itu dapat dilihat menerusi kekuatan keseluruhan pasukan apabila negara-negara ternama mempunyai barisan yang lebih seimbang bagi menghadapi saingan di Jepun bermula 19 September ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu enggan menutup terus peluang Malaysia apabila percaya pemain-pemain junior mampu menjadi pencetus kejutan dalam acara berpasukan.

“Kalau atas kertas, saya fikir kita nampak tidak kuat sangat dalam acara berpasukan jika dibandingkan dengan negara lain kerana mereka ada pasukan yang boleh dianggap lebih seimbang.

“Kadang-kadang dalam acara berpasukan memang sukar untuk dijangka kerana pemain-pemain junior ada peluang melakukan kejutan dan kita juga memiliki dua atau tiga pemain junior dalam acara perseorangan,” katanya.

Bagi saingan kali ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan Leong Jun Hao, Justin Hoh, Eogene Ewe dan Kong Wei Xiang dalam perseorangan lelaki, manakala Aaron Chia, Tee Kai Wun, Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani, Chen Tang Jie dan Goh Soon Huat membentuk barisan beregu.

Aaron pada masa sama mengakui cabaran dalam acara beregu lelaki bakal menjadi antara ujian paling getir apabila setiap negara dijangka menurunkan dua gandingan terbaik mereka untuk memburu kemenangan.

“Bagi saya, Sukan Asia memang sukar kerana dua gandingan terbaik setiap negara akan bermain di Sukan Asia dan edisi sebelum ini di Hangzhou pun memang tidak senang.

“Jadi kami hanya perlu berikan yang terbaik kerana dalam pertandingan seperti ini apa sahaja boleh berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×