KUALA LUMPUR: Kecederaan pemain beregu wanita, Noraqilah Maisarah Ramdan mungkin membuka ruang kepada barisan kejurulatihan badminton negara menggunakan pemain beregu campuran dalam acara beregu wanita dalam saingan berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui pihaknya sudah mempunyai beberapa pilihan taktikal menerusi pemain beregu campuran yang dibawa ke Jepun, namun keputusan hanya akan dibuat selepas undian diketahui Sabtu ini.
Situasi itu menjadi relevan selepas Noraqilah, yang sepatutnya bergandingan bersama Low Zi Yu, berlepas ke Jepun dalam keadaan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali kiri ketika sesi latihan Khamis lalu.
Rexy berkata, pemain seperti Chen Tang Jie, Goh Soon Huat, Shevon Lai dan Cheng Su Yin yang dibawa dalam skuad berpasukan memberi pasukan lebih banyak pilihan sekiranya strategi asal perlu diubah.
Malah, beliau tidak menolak kemungkinan membentuk gandingan khas menggunakan pemain yang ada, termasuk daripada kelompok beregu campuran, bergantung kepada keperluan pasukan selepas undian diperoleh.
“Kita boleh lihat kerana undian selama ini kita belum tahu, jadi kita harap kalau sampai di Jepun nanti kita sudah dapat satu gambaran tentang undian, di situ kita akan duduk berbincang.
“Dan saya rasa pengurus akan meluangkan banyak masa dengan saya, Kenneth (Jonassen) sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan dan juga jurulatih untuk bagaimana kita boleh susun semuanya,” katanya sebelum berlepas ke Jepun di ABM, Bukit Kiara, kelmarin.
Pilihan taktikal itu juga boleh menyaksikan Low Zi Yu digandingkan bersama Cheng Su Yin atau Shevon sekiranya Noraqilah tidak sempat pulih, manakala kombinasi Su Yin-Shevon turut boleh dipertimbangkan bagi mengisi slot beregu wanita kedua.
Pearly Tan-M Thinaah pula kekal sebagai taruhan utama negara dalam beregu wanita pertama, dengan segala susunan akhir bergantung kepada keputusan undian dan keadaan pemain sebaik tiba di Jepun.
Rexy berkata, Malaysia perlu bersedia dengan semua kemungkinan kerana saingan berpasukan kali ini menuntut perancangan lebih rapi, terutama bagi memburu sekurang-kurangnya tiket ke separuh akhir.
“Kita perlu realistik, untuk acara berpasukan kita bukan sahaja perlu bekerja keras, tetapi perlu menggandakan usaha untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.
“Kita lihat pasukan seperti Hong Kong yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga pemain perseorangan lelaki yang kuat, jadi mungkin kita tidak mempunyai perkara yang sama, tetapi ini menjadi motivasi buat pasukan mereka apabila mereka mempunyai sekurang-kurangnya tiga pemain yang baik,” katanya.
Noraqilah yang kini berada di ranking ke-49 dunia dijadual beraksi dalam acara berpasukan dan individu, namun masih perlu menjalani pemeriksaan lanjut di Jepun sebelum keputusan mengenai penglibatannya dibuat. – UTUSAN










