Rexy mahu hidupkan semula ‘magis’ pemain

Rexy mahu hidupkan semula ‘magis’ pemain

REXY (tengah) bersama barisan pemain sebelum berlepas ke Jepun bagi Sukan Asia 2026 di ABM, Bukit Kiara, hari ini. - UTUSAN/iSKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky mahu pemain beregu negara mengimbau semula detik-detik terbaik mereka di gelanggang sebagai usaha menghidupkan kembali keyakinan menjelang saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bermula 19 September ini.

Rexy berkata, pendekatan berkenaan akan dilakukan menerusi rakaman video selain perbincangan bersama pemain bagi mengingatkan mereka tentang prestasi yang pernah membawa kepada kejayaan sebelum ini.

Menurutnya, tumpuan bukan sekadar diberikan kepada keputusan atau cara pemain meraih kemenangan, sebaliknya aspek pemikiran, reaksi serta tingkah laku mereka pada setiap mata turut akan dianalisis.

“Ya, itu yang saya maksudkan, jadi saya mahu mereka melihat semula prestasi sebelum ini dan mengapa mereka pernah bermain seperti itu.

“Kita bukan lihat dari segi cara mereka bermain sahaja tetapi bagaimana mereka berkelakuan dalam gelanggang, cara berfikir dalam gelanggang dan setiap mata, kerana dalam video itu kita boleh lihat banyak sudut,” katanya sebelum berlepas ke Jepun di ABM, Bukit Kiara, hari ini.

Rexy berkata, rakaman tersebut akan membantu barisan kejurulatihan mengenal pasti elemen yang pernah mencetuskan prestasi terbaik pemain untuk diterapkan semula ketika mereka mengharungi tekanan di pentas Sukan Asia.

Katanya, antara perkara yang akan diberi perhatian termasuk bagaimana pemain mendapatkan mata, memberi respons kepada pasangan serta menunjukkan ekspresi yang mampu mengekalkan motivasi sepanjang perlawanan.

“Daripada bagaimana mereka mendapatkan mata, respons dengan pasangan dan ekspresi yang membuatkan mereka sentiasa bermotivasi pada setiap mata, perkara seperti ini yang kita juga harus tengok.

“Jadi kita akan lebih banyak refresh apa yang terbaik daripada prestasi Tang Jie, Pearly-Thinaah supaya mereka boleh mendapat satu motivasi,” katanya.

Pendekatan itu bakal menjadi lebih penting buat Malaysia yang hadir dengan beberapa perubahan gandingan apabila Aaron Chia digandingkan bersama Tee Kai Wun, manakala Chen Tang Jie bersama Cheng Su Yin dan Pearly Tan-M. Thinaah turut perlu mencari semula rentak terbaik mereka.

Malaysia kini memburu peluang menamatkan penantian emas badminton Sukan Asia yang kali terakhir diraih menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam acara beregu lelaki pada edisi Doha 2006. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×