KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong telah selamat menjalani pembedahan anterior cruciate ligament (ACL) di Pusat Perubatan Aspetar di Doha, Qatar kelmarin.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh mengesahkan keadaan Tze Yong dalam keadaan baik selepas menjalani prosedur itu.
“Setakat ini apa yang kami terima, semua dalam keadaan yang baik. Pembedahan pun selamat dijalankan.
“Saya dimaklumkan bahawa pembedahan itu berjalan dengan lancar,” kata Kenny kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, semalam.
Sebelum ini BAM memaklumkan Pusat Perubatan Aspetar dicadangkan oleh Institut Sukan Negara (ISN) dan dipersetujui pemain berusia 25 tahun itu berikutan kepakaran pusat perubatan sukan berkenaan pernah merawat bintang bola sepak Eropah ternama seperti Erling Haaland dan Neymar.
Tze Yong sebelum ini sempat beraksi dalam empat kejohanan sejak April lalu selepas kembali daripada pembedahan tulang belakang pada 2023.
Namun malangnya, kecederaan ACL memaksa beliau direhatkan semula sekaligus menjejaskan peluang untuk bangkit selepas diketepikan lebih setahun. – UTUSAN










