Indonesia penghalang terbesar Malaysia?

Indonesia penghalang terbesar Malaysia?

PEMAIN Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei (tengah) menjalani sesi latihan bagi persediaan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Chinomiya City Municipal Gymnasium, semalam.-IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluang skuad badminton lelaki Malaysia sekurang-kurangnya untuk meraih pingat gangsa agak tipis, dengan Indonesia bakal menjadi penghalang terbesar dalam acara berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang membuka tirai, hari ini.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam, Malaysia membuka aksi bertemu Mongolia di peringkat 16 terbaik, esok dan dijangka menang mudah ke atas pencabar kerdil itu di Aichi.

Indonesia pula mendapat ‘bye’ pada pusingan awal selaku pilihan pertama dan hanya akan turun menentang Malaysia dalam perlawanan sulung mereka pada Selasa.

Menilai kekuatan kedua-dua pasukan di atas kertas, sukar untuk skuad negara melepasi halangan Indonesia yang memiliki pasukan sempurna di setiap posisi.

Bukan tidak berpeluang langsung untuk menumbangkan negara tetangga itu, selaku ‘underdog’, Malaysia wajib mengutip mata penuh daripada dua beregu dan seorang pemain perseorangan perlu mencipta kejutan.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Malaysia, Kenneth Jonassen berkata, beliau lebih selesa meletakkan kepercayaan penuh kepada anak-anak buahnya apabila mereka berada di dalam gelanggang kelak.

“Saya percaya keupayaan para pemain saya dalam usaha mereka memberikan persembahan terbaik, jika, kita boleh meraih kemenangan diperlukan, hanya masa yang akan menentukan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Seandainya beregu No. 6 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani serta pasangan pecah ganding, Aaron Chia-Tee Kai Wun membuat silap dan kalah, maka, peluang Malaysia boleh dikatakan sudah tertutup.

Indonesia hampir pasti menurunkan beregu No. 2 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri selaku beregu pertama, manakala, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin yang merupakan pasangan No. 12 dunia sebagai gandingan kedua.

Dalam aksi perseorangan pula, sama ada Leong Jun Hao (No. 33 dunia) ataupun Justin Hoh (No. 48 dunia) memiliki tugas berat mencipta kejutan ke atas bintang No. 1 dunia, Jonatan Christie dan Alwi Farhan yang menghuni ranking No. 10 dunia.

Sementara itu, untuk skuad wanita yang beraksi, hari ini, wajib menewaskan Hong Kong dalam perlawanan pertama dan berdasarkan ranking, barisan pemain Malaysia dijangka tidak berdepan masalah melepasi halangan itu.

Bagaimanapun, pasukan wanita yang diperkuatkan beregu No. 5 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah, bakal bertemu Korea Selatan di suku akhir dan Malaysia bukanlah pencabar setanding dengan pasukan yang diletakkan selaku pilihan ke-3/4 itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×